Kiken Yochi Fokus Baharu Kempen Keselamatan Perodua Bersama PERKESO

Selepas Program Keselamatan Jalan Raya di musim perayaan lalu berakhir, Perodua terus mempergiat usaha untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya apabila menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Perodua telah melancarkan Kempen ‘Perjalanan Selamat ke Tempat Kerja’ Peringkat Kebangsaan PERKESO 2019 yang dirasmikan Menteri Sumber Manusia YB M Kula Segaran yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia YBhg Dato’ Amir Omar, Ketua Eksekutif PERKESO YBhg Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua YBhg Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Perodua telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Program Keselamatan Jalan Raya jangka-panjang kami. Setelah mengadakan banyak aktiviti kesedaran untuk semua kakitangan, kami bersedia untuk menerapkan nilai Kiken Yochi (meramal bahaya) bagi setiap kakitangan,” jelas Dato Zainal.

Ketika majlis pelancaran berlangsung, jurulatih PERKESO telah memberi penerangan kepada lebih 150 kakitangan Perodua mengenai konsep Kiken Yochi – meramal bahaya – dan pemanduan berhemah serta pentingnya memeriksa kenderaan.

“Kami berterima kasih kepada PERKESO kerana telah berkongsi banyak maklumat berguna mengenai keselamatan jalan raya yang akan kami terapkan ke dalam silibus Keselamatan Jalan Raya Perodua. Kami berhasrat untuk menyebarkan info ini kepada semua kakitangan di ibu pejabat.

“Sebagai syarikat yang mengutamakan modal insan, kami prihatin terhadap kesejahteraan para pekerja,” tambah Dato Zainal.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.