Perodua Bersama KPDNHEP Tekad Banteras Penjualan Alat Ganti Tiruan

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meluahkan rasa bimbang terhadap pelambakan alat ganti tiruan yang terdapat dalam pasaran ketika ini.

“Kami sedar bahawa terdapat banyak alat ganti tiruan menggunakan logo Perodua ketika ini dan ada sebahagian daripadanya sukar untuk dibezakan dengan alat ganti tulen antaranya, minyak pelinciri, penapis minyak, penyerap hentakan dan pad brek. Senario ini amat membimbangkan,” jelas Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin.

Menurut laporan The Edge, Perodua bimbang orang ramai akan mudah tertipu dengan penggunaan alat ganti tiruan yang ternyata tidak menjalani sesi ujian yang sewajarnya sekaligus dapat menggugat keselamatan pemandu.

Bagi mengatasi permasalahan ini, Perodua telah mengadakan sesi pertemuan dengan pegawai penguatkuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Pertemuan itu menyaksikan lebih 120 pegawai KPDNHEP telah dimaklumkan mengenai isu ini dan cara-cara untuk membezakan alat ganti tulen dan tiruan.

Sementara itu, Perodua menggesa agar orang ramai untuk tidak mudah mempercayai pengedar yang menjual alat ganti tiruan sebaliknya dapatkan alat ganti tulen di pengedar Perodua yang sah atau di 179 pusat servis Perodua di seluruh negara.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply