Hyundai, Kia Ungguli Ranking Kereta Paling Berkualiti 2019

 

Bila kita tanya pembeli, kereta apa yang paling boleh diharap? Pastinya rata-rata akan menyebut kereta Jepun diikuti jenama Eropah dan sebagainya.  Apa yang pasti tiada siapa yang akan menyebut jenama kereta Korea.

Bagaimanapun, menurut kajian kualiti Amerika Syarikat oleh JD Power mendapati, jenama kereta Korea menewaskan kereta Eropah dan Amerika Syarikat daripada aspek kualiti!

Ranking tersebut – yang ditentukan berdasarkan jumlah masalah yang dihadapi pembeli baru dalam tiga bulan pertama – menyaksikan Genesis (jenama mewah Hyundai) mengungguli tempat pertama dengan hanya 63 masalah bagi setiap 100 kenderaan.

Sementara tempat kedua dan ketiga diisi Kia dan Hyundai sekaligus menjadikan jenama kereta Korea menerajui kedudukan tiga terbaik!

Kedudukan seterusnya diikuti, Ford,Lincoln dan Chevrolet yang diekori rapat Lexus dan Toyota yang mewakili purata industri kenderaan (Industry Average).

Lebih bawah daripada markah purata industri, anda akan jumpa jenama Eropah lain; Mercedes-Benz, Audi, BMW, Volvo dan Volkswagen manakala Land Rover dan Jaguar mengisi slot tercorot.

Menurut laporan wired.com, jurucakap bagi Land Rover dan Jaguar – kedua-duanya dimiliki Tata Motors – berkata pertambahan ciri Apple CarPlay dan Android Auto telah mengurangkan aduan pengguna terhadap sistem infotainment kedua-dua jenama.

Sementara wakil Mercedes-Benz menegaskan bahawa keputusan kajian oleh JD Powers tidak mencerminkan pengalaman sepenuhnya oleh pengguna sebaliknya hanya akan digunakan bagi melakukan kerja-kerja penambahbaikan yang kecil.

Ketika kajian ini diterbitkan, jurucakap Volkswagen mendakwa ranking tersebut dipengaruhi isu yang melanda model Jetta – lima kali dipanggil semula dalam tempoh beberapa bulan pertama sejak dilancarkan.

Namun, bagi penyelia kajian kualiti kenderaan JD Powers, Dave Sargent menepis dakwanan terbabit.

“Keputusan ini bukan satu perkara yang mengejutkan. Pengeluar kereta Korea sering kali melakukan penambahbaikan saban tahun terutamanya daripada aspek sistem infotainment yang menggabungkan sistem navigasi, muzik dan pengaktifan suara,”jelasnya.

Antara masalah yang sering diajukan pengguna adalah, lampu depan tidak berfungsi, sistem voice recognition gagal mengecam suara terutamanya ketika mahu membuat panggilan.

Disebabkan penghasilan kereta sekarang adalah lebih baik jadi pemilik kereta kini memberikan tumpuan terhadap perkara-perkara yang kecil sekaligus memberi kesan terhadap ranking yang dipaparkan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]