KTM Atasi Penjualan Harley-Davidson, Buru Kedudukan Kawasaki

Ketika Stefan Pierer mengambil alih KTM pada 1991, pengeluar motosikal berpangkalan di Austria itu berdepan masa depan yang suram apabila ketinggalan dibelakang berbanding jenama Jepun.

Pierer kemudiannya mengambil masa beberapa tahun untuk memulihkan KTM dan hasilnya, 28 tahun kemudian, jumlah penghasilan motosikal KTM dalam masa sehari menyamai jumlah penghasilan dalam masa setahun ketika Pierer mula-mula sertai KTM.

Kini, KTM baharu sahaja mengatasi penjualan Harley-Davidson sebagai peneraju pengeluar motosikal di luar pasaran Asia.

“Kualiti yang kami hasilkan pada waktu itu (1991) menjadi bahan ketawa orang ramai. Tetapi setiap krisis yang timbul merupakan peluang untuk kami perbaiki apa yang perlu,” jelas Pierer.

KTM kini berhajat untuk muncul pengeluar motosikal tiga terbaik di dunia.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, penjualan KTM meningkat empat kali ganda meskipun pasaran dua roda di Eropah turun 14 peratus. Pierer yakin rekaan baharu dan pemfokusan terhadap pasaran Asia akan membantu KTM mencapai penjualan tahunan sekitar 400,000 unit menjelang 2022 sekaligus mampu mengatasi Kawasaki Motors yang menduduki tempat ketiga ranking penjualan motosikal.

Tahun lalu, meskipun KTM menjual 261,000 unit motosikal – lebih 35,000 unit berbanding Harley- namun pengeluar motosikal Amerika Syarikat itu menjana keuntungan tiga kali ganda berbanding KTM USD1.75bilion susulan motosikal Harley adalah jauh lebih mahal.

Sementara bagi segmen moped dan skuter, KTM masih ketinggalan di belakang Piaggio Group di Eropah manakala kedudukan Honda Motor Co. (dengan 20 juta unit dijual tahun lalu) dan Yamaha Motor Co. (5.4 juta unit dijual) nyata terlalu sukar untuk ditandingi.

Jenama KTM lahir di sebuah pekan kecil – Mattighofen – yang terletak selatan sempadan Jerman pada tahun 1934. Ketika Austria muncul selepas Perang Dunia Ke-2 dan cuba untuk membangun, KTM memainkan peranan dengan menghasilkan jentera dua roda yang murah dan tahan lasak agar orang ramai dapat kembali bergerak.

Selepas 40 tahun, pengasas KTM, Hans Trunkenpolz dan anaknya Erich berjaya membentuk jenama mereka sebagai ikon motosikal Austria dengan menghasilkan jentera yang mampu mendominasi permukaan jalan di Alpine.

Bagaimanapun, ketika Erich meninggal dunia sehari sebelum Krismas pada 1989, tanpa sebarang waris, jenama KTM beralih ke tangan pelabur yang tiada pengetahuan terhadap motosikal sekaligus mencetuskan kejatuhan jenama tersebut.

KTM kembali bangkit apabila memperkenalkan Pierer dengan bayaran gaji USD4 juta.

Tindakan pertamanya adalah dengan memberhentikan penghasilan moped dan ‘street bike’ bagi memberi fokus terhadap jentera off-road.

Pada 1993, dia menghantar pasukan bagi menyertai rali Paris-Dakar yang berjalan selama tiga minggu. Meskipun bergelut pada awalnya, KTM kini memenangi setiap edisi perlumbaan tersebut sejak tahun 2001 sekaligus menjadikan motosikal KTM sebagai nama besar bagi pencinta motosikal off-road.

Pierer kembali memperkenalkan motosikal ‘street bike’ 20 tahun lalu yang kini menjana separuh daripada penjualan KTM.

Kemudian pada 2007, Pierer menjalin kerjasama dengan Bajaj Auto Ltd – pengeluar motosikal di India. Bajaj merupakan pengeluar terbesar di dunia dalam menghasilkan jentera tiga roda – yang rata-rata digunakan sebagai teksi di negara membangun – tetapi tiada kepakaran dalam menghasilkan enjin empat strok, ‘fuel injection’ dan brek anti-lock yang kemudiannya dibangunkan dengan bantuan KTM.

Sebagai ganti, KTM mendapat tapak pengeluaran dengan kos perbelanjaan jauh lebih murah berbanding di Austria dan jaringan pengedar terbaik di pasaran motosikal terbesar di dunia.

Enam tahun lalu, KTM mengambil alih Husqvarna daripada BMW AG. Husqvarna membantu KTM mencapai hasrat untuk menghasilkan beberapa model berbeza namun dengan alat ganti yang sama. Kedua-dua jenama ini kini berkongsi enjin, sistem penyerap hentakan, kotak gear dan beberapa komponen lain tetapi masih mengekalkan identiti masing-masing.

“Di litar lumba, Husqvarna merupakan seteru utama KTM tetapi dalam aspek lain, kami adalah satu keluarga,” tambah Pierer.

Sementara itu, Pierer kini bercadang untuk melakukan perkara sama dengan Ducati, jenama motosikal Itali yang dicanang bakal dijual Volkswagen AG serta Triumph, pengeluar motosikal Britain yang sedang bergelut untuk membangun.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.