Moto2: Folger Kembali, Ganti Khairul Idham Untuk Tiga Perlumbaan

Jonas Folger akan mewakili pasukan Petronas Sprinta Racing dalam perlumbaan Moto2 hujung minggu ini di litar Catalunya bagi menggantikan Khairul Idham Pawi.

Folger bakal beraksi dalam tiga pusingan Moto2 sementara menanti Khairul sembuh sepenuhnya setelah mengalami kecederaan tangan ketika di GP Sepanyol, bulan lalu.

Sebelum ini, Mattia Pasini merupakan pelumba gantian kepada Khairul Idham ketika aksi di Le Mans dan Mugello namun dia mengalami kecederaan tulang selangka (collarbone) apabila terlibat dalam kemalangan motorcross.

Folger memiliki rekod mengagumkan di perlumbaan Grand Prix, menang lima perlumbaan dan merekodkan 24 kejayaan menaiki podium di samping turut memenangi tiga perlumbaan bagi kelas pertengahan.

Jentera Triumph-Kalex Moto2 juga bukanlah asing bagi Folger kerana dia memainkan peranan sebagai penunggang utama bagi jentera terbabit ketika projek pembangunan di peringkat awal.

Folger juga tidak dapat menyembunyikan keterujaannya untuk kembali bersaing.

“Saya sangat teruja untuk kembali bertanding. Saya tidak sabar untuk kembali ke atas motosikal dan kembali merasai senario perlumbaan. Petronas Sprinta Racing merupakan pasukan yang cukup profesional dalam ketiga-tiga kategori.

“Saya juga mengenali beberapa individu dalam pasukan Moto2 jadi saya tidak sabar untuk kembali bekerjasama dengan mereka. Saya juga pernah menaiki podium ketika di Barcelona sebelum ini dan litar Catalunya amat sesuai dengan skil saya.

“Kalex sememangnya jentera yang sangat seronok untuk ditunggang kerana gaya tunggangan adalah sama seperti jentera di MotoGP. Penggunaan enjin Triumph juga membuatkan jentera Moto2 seakan menunggang motosikal MotoGP. Saya tidak sabar untuk kembali beraksi!,” ujarnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.