Zarco Bakal Sertai Honda Bagi Projek WSB 2020?

Sumber: KTM Media Centre

Selepas merekodkan keputusan mengecewakan di GP Itali minggu lalu – menamatkan perlumbaan di kedudukan terakhir dibezakan 41 saat dengan pendahulu – masa depan Johan Zarco di KTM kelihatan semakin malap.

Senario itu sekaligus menimbulkan desas-desus bahawa pelumba berusia 28 tahun itu bakal dipikat pasukan Honda bagi projek World Superbike 2020.

Ketika ini hubungan diantara Zarco dan pasukan KTM kelihatan suram dengan timbulnya beberapa laporan mengatakan berlakunya pertikaman lidah terutamnya daripada Ketua Pegawai Eksekutif KTM, Stefan Pierer – yang bulan lalu mengkritik prestasi Zarco secara terbuka.

Menurut Motorcyclenews, khabar angin mengenai perpindahan ke WSB datang daripada sumber dipercayai terutamanya ketika di Mugello.

Laporan tersebut juga selari dengan perancangan Honda untuk mempertingkatkan kempen mereka dalam kejohanan motosikal ‘production’ bagi tahun 2020 dengan memperkenalkan jentera baharu bagi menggantikan Fireblade.

Susulan Honda mendapat suntikan kewangan yang besar bagi menjana projek WSB 2020, tidak hairanlah jika pengeluar motosikal Jepun itu merancang untuk merekrut seorang penunggang daripada arena MotoGP.

Sementara itu, media Itali turut melaporkan bahawa HRC berminat untuk membawa masuk Alvaro Bautista.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.