Kami Ke Litar Jerez Untuk Uji Bridgestone Battlax Hypersport S22

Awal bulan April lalu, kami terbang sejauh 15,000km ke Jerez, Sepanyol bagi menguji tayar terbaru daripada pengeluar tayar terkenal Jepun, Bridgestone Battlax Hypersport S22.

Tayar S22 merupakan evolusi terbaru bagi siri sebelum ini Battlax Hypersport S21.

Bridgestone Motorcycle & Scooter Tyres Centre – Malaysia (RM Mart Sdn Bhd atau BridgestoneMoto) telah memberi kami peluang untuk menguji produk baharu mereka di litar legenda, Circuito de Jerez.

Seramai 45 wartawan permotoran seluruh dunia diberikan peluang ini untuk menguji Bridgestone Battlax Hypersport S22 dengan mencuba beberapa jentera dua roda – supersport dan superbike.

Antara jentera yang membuat kemunculan pertama di mata kami, Kawasaki Ninja ZX-6R 2019 – juga motosikal pertama dunia yang didatangkan dengan tayar S22 sebagai standard.

Jentera lain yang sempat kami tunggang bagi menguji tayar baharu ini adalah BMW S 1000 RR 2019, Kawasaki Ninja ZX-10R SE dan Honda CBR1000RR Fireblade SP.

Apa yang baru mengenai Bridgestone Battlax Hypersport S22 ini?

Hypersport S21 telah menetapkan petanda aras yang sukar untuk digugat pengeluar tayar lain namun pada masa sama, ia memberi tugas berat kepada Brigestone untuk menghasilkan evolusi baharu yang lebih mantap.

Bagaimanapun, Bridgestone Battlax Hypersport S22 ternyata tiada tolok bandingnya apabila menghadirkan cengkaman lebih baik di permukaan kering dan basah! Sekaligus meningkatkan lagi pengalaman tunggangan.

Segalanya mungkin dengan sebatian baharu yang terhasil daripada formula silika diperkaya digabung dengan ‘land-sea ratio’ yang lebih baik. Formula ini memperbaiki pengaliran air, meningkatkan ketangkasan dan respon yang lebih cekap.

Dalam fahaman mudah, segala penambahbaikan baharu ini membenarkan penunggang untuk ‘cecah lutut’ dengan lebih mudah kerana terdapat cengkaman yang mencukupi meskipun di atas permukaan yang basah.

Bridgestone sendiri memaklumkan anda kini boleh memecut 15 peratus lebih laju di bahagian selekoh dengan S22!

Apa kelebihan Bridgestone Battlax Hypersport S22?

Formula silika diperkaya juga memainkan peranan penting bagi penghasilan S22 – 25 peratus kandungan lebih tinggi berbanding S21. Lebih tinggi kandungan silika, lebih baik cengkaman di atas permukaan yang basah.

Sementara itu, penggunaan ‘multi-compound’ baharu dalam penghasilan tayar depan dan belakang juga merupakan penambahbaikan baharu yang amat penting.

Tiga kompaun berbeza dengan lima lapisan memastikan cengkaman tayar berada dalam keadaan optimum tanpa perlu mengira suhu permukaan jalan.

Senario ini membenarkan penunggang untuk menikmati pengalaman tunggangan maksimum kerana S22 lebih cepat panas tanpa mengira keadaan suhu jalan.

Penggunaan resin baharu juga bererti jangka hayat S22 kini lebih lama jadi anda tidak perlu gusar untuk menukar tayar dengan lebih kerap!

Bridgestone Battlax Hypersport S22 dihasilkan khas untuk kaki ride?

Jika anda sering menggunakan jentera supersport atau superbike untuk ke tempat kerja dan melayan ‘corner’ di Bukit Tinggi pada hujung minggu sehinggalah beraksi di ‘track day’, tayar Bridgestone Battlax Hypersport S22 sememangnya pasangan sesuai untuk anda.

Ini kerana kemampuan untuk memberi cengkaman terbaik dalam keadaan permukaan yang basah atau kering. Hakikat ini cukup penting di Malaysia yang sentiasa berdepan kedua-dua keadaan ini setiap hari sepanjang tahun.

Apa pendapat kami mengenai tayar baharu ini?

Bridgestone Battlax Hypersport S22 bukan sahaja berjaya mengekalkan kredibiliti S21 malah lebih dari itu.

Kenyataan Bridgestone bahawa S22 mampu menawarkan cengkaman lebih baik tanpa mengira keadaan suhu permukaan jalan telah memadam segala tanggapan skeptikal – sesi ujian di Jerez jadi bukti kemampuan S22.

Siapa sangka Bridgestone mampu menambahbaik ciri-ciri yang ada pada S21? Tayar yang mendapat reviu kelas pertama daripada setiap media permotoran di dunia?

Bridgestone Battlax Hypersport S22 kini boleh didapati di Malaysia dengan harga bermula dari RM570 hingga RM960.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply