Anggota Polis Maut Dilanggar Motosikal Ketika Bertugas

Gambar hiasan

Seorang anggota polis berusia 27 tahun meninggal dunia ketika sedang menjalankan tugas apabila dilanggar oleh sebuah motosikal di KM23.2 Lebuhraya Linkedua, Johor Bahru, semalam.

Pelanggaran tersebut turut menyebabkan seorang lagi anggota polis tercampak ke atas jalan raya lantas mencederakannya.

Mangsa, Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, sedang melakukan pemeriksaan rutin terhadap sebuah van sebelum dilanggar dalam insiden yang berlaku sekitar jam 6.40 pagi.

Manakala rakan setugas, Lans Koperal Muhammad Syakir Safwan Khairudin mengalami kecederaan ringan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Menurut laporan The Star, mangsa bakal menamatkan syif bertugas ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, penunggang motosikal terbabit turut mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad mengesahkan rakan setugas mangsa dan penunggang motosikal terbabit sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

Siasatan awal mendapati jalan raya berada dalam keadaan lengang ketika kejadian dan polis sedang menyiasat insiden tersebut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.