Dovizioso Tidak Puas Hati Dengan Jentera Desmosedici GP19

Sumber: Andrea Dovizioso @ Twitter

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso menyifatkan dia tidak dapat menunggang sepertimana yang diinginkan di Mugello dan percaya pakej keseluruhan jentera Desmosedici GP19 masih tidak mencapai tahap yang bagus untuk mencapai kemenangan di GP Itali.

Ketika sesi ujian bebas semalam, Dovizioso bergelut dengan tayar terutamanya di bahagian selekoh ketika sesi ujian memasuki waktu tengah hari.

“Catatan masa adalah lebih baik berbanding tahun lalu tetapi pelumba lain turut melakukan perkara sama.

“Ketika ini saya tidak mendapat perasaan yang saya inginkan. Meskipun senario keseluruhan tidak terlalu teruk tetapi saya tidak gembira. Saya tidak dapat menunggang sepertimana yang saya inginkan. Kami perlu perbaiki jentera ini.

“Kami telah mencuba pelbagai tetapan berbeza di waktu tengah hari dan berjaya menemui beberapa aspek positif tetapi secara keseluruhan belum cukup bagus.

“Kami perlu mencari penyelesaian terbaik menjelang sesi kelayakan. Saya sedang bergelut dengan jentera ini.

“Saya masih belum mendapat sentuhan yang saya mahukan di bahagian depan terutamanya ketika sesi ujian di sebelah pagi. Ketika memasuki selekoh, jentera tidak berada dalam keadaan yang stabil,”jelasnya.

Sementara itu, Dovizioso menjelaskan dia tidak akan menggunakan pelindung karbon bagi tayar belakang sepertimana yang digunakan pelumba ‘wildcard Michele Pirro ketika FP1.

“Saya belum mendapat keputusan mengenai penggunaan pelindung tersebut. Buat masa ini perkara itu tiada dalam perancanganl,”tambahnya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]