Kerajaan Main Tarik Tali Dengan Khidmat E-Hailing Motosikal

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dalam satu temu ramah dengan The Edge berkata Go-Jek – servis e-hailing motosikal Indonesia – telah meluahkan minat untuk memasuki pasaran Malaysia.

“Malaysia menerima baik pelaburan luar, jika mereka mahu membuka syarikat di sini, kita menerima baik tindakan itu. Saya mendapat khabar berita bahawa mereka sedang dalam proses untuk membuka syarikat di sini,” katanya.

Kenyataan tersebut sedikit sebanyak mengubah kedudukan kerajaan yang sebelum ini – 31 Julai tahun lalu – menegaskan tidak bercadang untuk membenarkan servis e-hailing motosikal diperkenalkan.

Menjawab persoalan diajukan wakil Rembau, Khairy Jamaluddin di Parlimen ketika itu, Loke berkata Malaysia masih belum bersedia untuk memperkenalkan servis e-hailing motosikal susulan kadar kemalangan motosikal berada di paras yang sangat tinggi.

Menurut Malay Mail, Januari lalu, pengasas bersama Go-Jek, Kevin Aluwi berkata masih tiada kata putus untuk memulakan operasi di Malaysia.

Go-Jek bermula pada 2010 sebagai servis menghantar penumpang dengan motosikal sebelum mengembangkan servis mereka kepada penggunaan kereta, servis bayaran atas talian, penghantaran makanan dan pembelian barang dapur.

(SUMBER: MalayMail)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply