Triumph Giat Bangunkan Jentera Elektrik Sulung

Tatkala jenama motosikal lain sibuk beralih kepada penghasilan motosikal elektrik, Triumph masih kekal dengan jentera konvensional.

Bagaimanapun, segalanya bakal berubah apabila pengeluar motosikal British itu kini sedang giat membangunkan jentera elektrik pertama mereka.

Triumph telah pun memberi bayangan mengenai projek baharu mereka awal tahun ini dengan menghantar beberapa soalan kaji selidik kepada pelanggannya bagi melihat sama ada mereka berminat dengan motosikal elektrik Triumph.

Pada awalnya, ramai yang berpendapat tindakan Triumph hanyalah sekadar untuk perancangan masa hadapan namun segalanya terjawab apabila mereka mengumumkan projek TE-1.

Objektif utama projek tersebut adalah menghasilkan jentera elektrik dalam tempoh dua tahun akan datang. Dijangkakan enjin elektrik ringan itu akan menjana beberapa model Triumph akan datang.

Namun, Triumph mengesahkan bahawa TE-1 hanyalah nama yang diberikan bagi projek yang masih berada di peringkat awal dan bukanlah produk sebenar atau nama jentera yang akan dihasilkan.

Bagi memastikan projek tersebut berjalan dengan lancar, Triumph turut bekerjasama dengan Williams Advanced Engineering, Integral Powertrain, pakar elektrik dari Universiti Warwick serta kerajaan United Kingdom menerusi agensi sains dan teknologi Innovate UK.

Meskipun jalinan antara Triumph dan motosikal elektrik kelihatan agak janggal ketika ini namun segalanya akan berubah sepertimana Harley-Davidson yang mendapat pujian atas penghasilkan model LiveWire yang akan dilancarkan tahun hadapan.

(SUMBER: Electrek)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]