Honda Malaysia Raikan Penyerahan Unit Civic Yang Ke-130,000!

Honda Malaysia merekodkan pencapaian baharu apabila menyerahkan model Civic yang ke 130,000 kepada pemiliknya. Pencapaian menakjubkan ini merupakan pengumpulan penjualan Civic sejak model generasi ke-7 diperkenalkan pada 2001.

Pencapaian ini mencerminkan penerimaan baik oleh orang ramai terutamanya bagi model Civic dalam segmen-C kereta sedan. Ketika ini Civic mendahului segmen terbabit.

Honda Civic merupakan antara unit paling popular di Malaysia dengan lebih 9,300 unit Generasi ke-7 terjual, diikuti 50,400 unit Generasi ke-8 dan 27,000 unit bagi Generasi ke-9. Manakala, Civic Generasi ke-10 yang dilancarkan pada 2016 – juga generasi pertama yang mendapat suntikan enjin turbo – telah pun mencatat penjualan 42,200 unit.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen meluahkan rasa terima kasih kepada semua 130,000 pemilik Honda Civic di Malaysia.

“Saya berasa berbesar hati kepada semua pemilik Honda Civic di Malaysia. Sokongan dan kepercayaan mereka kepada jenama Honda memastikan kami kekal mendahului Segmen-C kenderaan sedan. Meskipun terdapat kekangan dalam penjualan unit Civic awal tahun ini namun kami tetap terus mendahului Segmen-C. Kami yakin mampu mencapai sasaran penjualan bagi tahun 2019,”jelasnya.

Civic dijana dengan enjin 1.5L VTEC Turbocharged yang dihasilkan di bawah Honda Earth Dreams Technology, sekaligus menghasilkan prestasi seperti enjin 2.4L. Honda Civic turut dilengkapi dengan sistem pemantauan pintar yang bertindak mengekalkan prestasi enjin ditahap optimum.

Bagi memastikan keselamatan pemanduan, semua unit Civic dilengkapi dengan 6 beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Anti-Lock Braking System (ABS), Electronic Brake Distribution (EBD), Brake Assist (BA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS) dan ISO Fix.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.