Cub Prix 2019: Afif Lakar Kemenangan Pertama Musim Ini

Advertisements

Ahmad Afif Amran meraih kemenangan pertama musim ini bagi kategori CP150 setelah menjuarai pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor, semalam.

Wakil PETRONAS Sprinta Yamaha itu menamatkan perlumbaan dengan catatan 14 minit 55.133 saat dihadapan Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) kedua dengan catatan masa 14min 56.549s.

Sementara itu, tempat ketiga jadi milik Md Izzat Zaidi Md Salehan (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan catatan masa 14min 57.676s yang merupakan podium pertamanya musim ini.

Pelumba pilihan, Azroy Hakeem Anuar – yang menjuarai dua pusingan sebelum ini – terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ke-11 apabila terjatuh seawal selekoh pertama.

“Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras untuk menyiapkan jentera terbaik kepada saya pada minggu ini.

“Pada peringkat awal perlumbaan, saya tidak memikirkan tentang kemenangan sebaliknya hanya mahu memastikan tidak terbabit dengan kemalangan kerana sedar selekoh pertama agak berbahaya.

“Perlumbaan tadi (semalam) juga sebenarnya bukan mudah kerana memerlukan pelumba untuk kekal konsisten dari awal sehingga ke penghujung perlumbaan. Keadaan litar yang agak berisiko memerlukan saya memberi sepenuh tumpuan dan gembira kerana berjaya memenangi perlumbaan pertama musim ini,” jelas Afif.

Afif kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 58 mata, tiga mata dihadapan Azroy yang memungut 55 mata manakala Ahmad Fazrul Sham (AHM Motorsports Yamaha Racing) ketiga dengan 36 mata.

Dalam perkembangan lain, Md Adib Rosley dari pasukan Motil Yamaha YY Pang Racing mengungguli kategori CP115.

Dia meninggalkan Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) dengan perbezaan 1.839s sementara tempat ketiga jadi milik rakan sepasukan Adib, Md Khairi Asyraf Mahmood.

Gelaran naib juara terus meletakkan Ahmad Syukran sebagai pendahulu keseluruhan dengan 60 mata manakala Adib kedua dengan 41 mata.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.