Pegawai Wanita Pertama Dalam Unit Penguatkuasaan Bermotosikal JPJ

  • Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur kini mempunyai tiga orang pegawai wanita dalam Unit Penguatkuasaan Bermotosikal.
  • Tiga orang pegawai tersebut merupakan antara pegawai wanita pertama dalam unit di bawah jabatan berkenaan.
  • Para pegawai wanita berkenaan telah menjalani latihan yang sama seperti pegawai lelaki.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur telah mencipta sejarah sebagai yang pertama memiliki pegawai wanita dalam Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) mereka.

Tiga pegawai wanita telah terpilih mempelopori bilangan pegawai wanita dalam unit berkenaan; Wah Moliz Bah, 28 tahun; Asma Shafie, 24; serta Siti Syazwani Hajizin, 27; dalam Unit Penguatkuasaan Bermotosikal yang terdiri daripada para pegawai lelaki sebelum ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd. Zawawi telah berkata bahawa sudah tiba masanya para pegawai wanita untuk menyertai UPB dan menyeru para pegawai wanita dalam jabatan untuk menyertai unit berkenaan.

Wah Moliz menyahut seruan pengarah kerana dia telah lama teringin menunggang motosikal berkapasiti tinggi.

“Sebelum ini, UPB terdiri daripada para pegawai lelaki sahaja, namun kini, JPJ telah membuka peluang buat para pegawai wanita untuk menyertainya. Ia juga membuktikan yang wanita juga sama cekap dalam mengendalikan motosikal berkuasa besar,” kata Wah Moliz kepada pemberita ketika sambutan Hari JPJ Kuala Lumpur kali ke-73 pada hari Rabu.

“Kursus dan latihan yang telah kami jalani tiada bezanya dengan apa yang dijalani oleh para pegawai lelaki, namun, cabaran utamanya adalah tahap stamina dan kekuatan tinggi yang diperlukan kerana motosikal tersebut berat,” ujarnya lagi.

Siti Syazwani pula menyuarakan rasa terkejutnya kerana berpeluang dapat menyertai unit berkenaan.

“Apa yang saya paling ingat sekali adalah sewaktu saya menghadiri kursus di mana kami diarahkan untuk mendirikan kembali motosikal berkapasiti 650cc Kawasaki Versys yang mencecah hampir 200kg.” (Berat sebenarnya melebihi 200kg – Editor.)

“Kami perlu mengetahui cara yang betul untuk mengangkat motosikal dan sekiranya ianya terjatuh, kami perlu mempelajari teknik mengangkat semula motosikal. Setakat ini, kami telah menunggang motosikal kami ke Melaka dan akan ada lebih banyak kursus latihan bagi memperkukuhkan dan mengasah lagi kemahiran kami,” ujar Siti Shazwani.

“Ianya satu idea yang diutarakan pada awal tahun ini dan saya cabar para pegawai wanita untuk menyertai UPB kerana saya yakin dengan kebolehan mereka,” tambah Datuk Ismail.

Sumber: The Star Online, Bernama

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.