Azroy Dan Jentera Honda Kuasai Batu Kawan

Azroy Hakeem pamer tunggangan mantap di Batu Kawan apabila berjaya merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS, semalam.

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu meneruskan rentak kemenangan setelah menjuarai aksi pembukaan di Jasin, Melaka, bulan lalu.

Nasib seakan menyebelahi Azroy tatkala pendahulu perlumbaan, Md Akid Aziz menarik diri seawal pusingan pertama setelah terjatuh sementara Md Helmi Azman mengalami masalah jentera sekaligus membuka peluang buat Azroy untuk mendahului perlumbaan.

Sementara itu, juara bertahan Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing terpaksa berpuas hati dikedudukan kedua apabila gagal dalam percubaan untuk memintas Azroy yang berjaya menutup ruang sepanjang perlumbaan.

Azroy mencatat masa 17 minit 34.904 saat diikuti Afif 17’35.080s dan pelumba senior, Ahmad Fazrul Sham ketiga dengan catatan masa 17’45.922s.

“Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana bekerja keras untuk membantu saya memenangi perlumbaan minggu ini, begitu juga dengan sokongan keluarga dan penaja,” jelas Azroy yang kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 50 mata.

“Pada penghujung perlumbaan saya menyedari Afif berada dekat dengan saya jadi saya perlu menutup ruang dan berjaya mempertahankan kedudukan sehingga ke garisan penamat,”jelasnya.

Sementara itu, aksi CP115 menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli menjuarai perlumbaan dengan catatan keseluruhan 13’45.133s.

Tempat kedua jadi milik Ahmad Syukran Aizat Md Yusof (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) sementara Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang) ketiga.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.