WorldSBK 2019: Ducati Panigale V4 R Bakal Dikurangkan 250 RPM

  • Jentera Ducati Panigale V4 R akan dikurangkan sebanyak 250 RPM dalam kejohanan WorldSBK 2019.
  • Honda CBR1000RR pula akan mendapat tambahan 500 RPM.
  • Ducati dan Kawasaki juga tidak dibenarkan untuk melakukan penambahbaikan enjin pada jentera mereka.

Seperti mana yang dijangka akan berlaku mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh FIM, jentera Ducati Panigale V4 R bakal dikurangkan sebanyak 250 RPM dari kitaran kemuncaknya pada pusingan yang berikutnya di Assen.

Keputusan ini dibuat selepas Alvaro Bautista memenangi enam perlumbaan pertama dan juga tiga perlumbaan Superpole pertama dalam musim ini di atas jentera Ducati Panigale V4 R.Selain daripada mengurangkan kemuncak RPM-nya (bagi mengurangkan kuasa kuda kemuncaknya), Ducati juga akan ditarik balik konsesi bagi membuat penambaikan enjin untuk baki tahun ini. Dan dengan itu, Bautista dan teman sepasukannya, Chaz Davies, bersama dengan Eugene Laferty akan bersaing atas jentera dengan spesifikasi yang tidak akan berubah dari awal musim.

Pengurangan sebanyak 250 RPM tidak akan memberi kesan ke atas Bautista. Malah, pasukan Aruba.it Ducati telah pun menguji sebuah jentera dengan kitaran yang dikurangkan sebanyak 250 RPM di Aragon sebelum ini.

Sebaliknya, jentera Kawasaki Ninja ZX-10RR tidak akan dikurangkan kitarannya, namun, mereka juga tidak akan dibenarkan melakukan penambahbaikan pada enjin mereka, kerana jurang antara Ducati dan Kawasaki hanyalah sebanyak 7 mata (di bawah paras 9 mata).

Pengeluar yang lain telah diberikan kelonggaran, termasuklah BMW dan Yamaha (yang ada pasukan pengilang), begitu juga dengan Aprilia, Suzuki, dan MV Agusta (yang tiada pasukan pengilang).

Bagi Honda pula, jentera CBR1000RR akan mendapat tambahan 500 RPM. Penambahan ini akan berkuat kuasa dalam masa dua pusingan, iaitu 250 RPM di Assen, dan 250 RPM seterusnya di Imola, Itali.

“Rombakan” sebegini bukanlah sesuatu yang baharu. Jentera ZX-10RR Kawasaki telah dihadkan kitaran kemuncak mereka pada tahun lalu selepas Jonathan Rea mendominasi keseluruhan kejohanan. Langkah ini bagi memastikan kejohanan ini lebih berdaya saing.

Anda boleh baca mengenai keputusan FIM tersebut DI SINI.

Had kitaran buat para pengeluar yang berbeza adalah seperti rajah di bawah (Sumber: WorldSBK/FIM).

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]