Lamborghini Sertai MotoGP Dengan Penajaan Pasukan Pramac Ducati

  • Automobili Lamborghini telah menjadi penaja utama bagi pasukan Pramac Ducati.
  • Mereka telah menggantikan Alma sebagai penaja utama.
  • Kakitangan dan penunggang pasukan berkenaan akan dapat menggunakan Lamborghini sewaktu pusingan MotoGP di Texas pada hujung minggu ini.

Pasukan Pramac Ducati mungkin kehilangan Alma sebagai penaja utama mereka, namun, mereka telah berjaya mendapat tajaan utama dari Automobili Lamborghini sebagai penggantinya. Pengumuman ini telah dilakukan menjelang pusingan MotoGP di Austin, Texas pada hujung minggu ini.

Nama dan kemasan grafik Alma telah ditanggalkan di Argentina akibat daripada dakwaan cukai terhadap syarikat berkenaan.

Ahli pasukan juga akan mendapat manfaat daripada penajaan ini. Para penunggang pasukan berkenaan, Jack Miller dan Francesco Bagnaia masing-masing akan menerima sebuah model Huracán, manakala kakitangan pasukan akan dibekalkan dengan tiga buah SUV Urus untuk kegunaan mereka di Amerika Syarikat. Ke semua kenderaan ini akan dihiasi dengan logo Pramac Racing.

“Menyertai perlumbaan Grand Prix sepenting perlumbaan di Amerika Syarikat, dengan logo Lamborghini bersebelahan dengan logo Pramac di atas reraup kami, ia memberikan kami satu kepuasan,” ujar ketua pasukan, Paolo Campinoti.

“Kami berbangga kerana berjaya mendapatkan Automobili Lamborghini sebagai penaja utama bagi perlumbaan “Grand Prix of the Americas” dan ianya menunjukkan yang hubungan antara Lamborghini dan Pramac ini lebih dalam dari persahabatan akrab yang menghubungkan saya dengan Stefano Domenicali.

Stefano Domenicali (tiada talian persaudaraan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali), Pengerusi, dan Ketua Pegawai Eksekutif Aumotobili Lamborghini, menambah: “Tiada tempat yang lebih sempurna selain GP Austin bagi memeterai kerjasama yang penting antara Automobili Lamborghini dan Pramac Racing.”

Pramac dan Lamborghini pernah bekerjasama sebelum ini sewaktu pelancaran pasukan di Manifattura Lamborghini, sebuah kemasan grafik bagi Grand Prix Itali 2018 dan kemasan grafik bagi musim 2019 yang direka oleh Mitja Borkert, pengarah Lamborghini Centro Stile.

Jenama kereta lumba ini pernah mengusahakan projek motosikal yang menemui kegagalan sebelum ini, tetapi, jangan risau, mereka hanya akan menaja dan bukan menghasilkan motosikal mereka sendiri.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]