Honda, Kawasaki, Suzuki, Dan Yamaha Bekerjasama Dalam Pembangunan Bateri Motosikal

Stesen penukaran bateri dan skuter Gogoro – Sumber imej Nikkei Asian Review
  • Empat buah pengeluar motosikal utama di Jepun, iaitu Honda, Yamaha, Kawasaki, dan Suzuki akan bekerjasama bagi membangunkan teknologi bateri motosikal.
  • Mereka sedang berusaha membangunkan teknologi penukaran bateri bagi mengatasi tempoh pengecasan yang panjang.
  • Yamaha sudah mula bekerjasama dengan Gogoro di Taiwan bagi membangunkan teknologi penukaran bateri ini.

Empat buah pengeluar motosikal utama di Jepun, iaitu Honda, Yamaha, Kawasaki, dan Suzuki akan bekerjasama bagi membangunkan teknologi bateri motosikal.

Usahasama ini adalah untuk menangani masalah utama yang dihadapi oleh motosikal elektrik pada ketika ini: tempoh pengecasan. Buat masa ini, tempoh pengecasan motosikal elektrik memakan masa yang agak lama. Dan dengan itu, mereka ingin mencari penyelesaian bagi bateri yang rendah cas atau pun kehabisan cas dengan menukarnya dengan bateri yang telah dicas penuh.

Penyelesaian mereka itu mirip dengan penyelesaian yang telah digunapakai oleh Gogoro, yang mana sedang beroperasi di Taiwan. Penunggang motosikal elektrik boleh mengunjungi stesen pengecasan, keluarkan bateri yang telah kehabisan cas dari motosikal mereka, masukkan dalam stesen pengecasan dan menukarkannya dengan bateri yang telah dicas penuh.

Yamaha sudah mula bekerjasama dengan Gogoro untuk penyelesaian ini di negara berkenaan.

Gogoro mula memasuki pasaran Taiwan pada tahun 2015. Semenjak itu, 750 buah GoStation telah pun didirikan, memenuhi keperluan penukaran bateri kira-kira 17 juta. Syarikat itu mensasarkan sebanyak 3,000 buah stesen pengecasan secara keseluruhannya.

Honda dan Yamaha adalah pengeluar utama dalam segmen motosikal elektrik di kalangan empat buah pengeluar berkenaan. Namun dengan tarikh akhir untuk bertukar kepada kenderaan elektrik sudah semakin hampir tiba, Kawasaki dan Suzuki perlu bergegas dalam penghasilan motosikal elektrik mereka sendiri. Kebanyakan negara Eropah akan bertukar ke kenderaan elektrik baharu dalam tempoh masa satu dekad, dan pada ketika itu akan mengehadkan kenderaan bahanapi fosil secara berperingkat.

Malaysia masih ketinggalan agak jauh di belakang. Buat masa ini, hanya kereta mewah sahaja yang ada varian hibrid atau elektrik. Dan dengan itu, infrastrukturnya dibina oleh pengeluar mereka bagi memenuhi keperluan kereta keluaran masing-masing.

Kerajaan Malaysia perlu bertindak dengan lebih segera bagi memastikan kita tidak ketinggalan lebih jauh di belakang lagi.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]