Ketua Pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal, “Berang” Dengan Hafizh Syahrin

Sumber imej: Fox Sports Asia
  • Ketua pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal mengakui yang dia berasa “berang” dengan Hafizh Syahrin.
  • Dia telah berkongsi perasaannya itu sewaktu pusingan MotoGP Argentina.
  • Hafizh Syahrin mensasarkan untuk mendapat keputusan yang lebih baik dari teman sepasukan baharunya, Miguel Oliveira pada tahun ini.

Ini adalah satu berita yang kurang menyenangkan untuk didengari. Ketua pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal, mengakui yang dia berasa “berang” dengan Hafizh Syahrin.

Dia telah berkongsi perasaannya itu sewaktu ditemuramah oleh penemuramah litar MotoGP, Simon Crafar, ketika hujung minggu pusingan MotoGP Argentina.

“Hafizh, ianya sesuatu yang amat pelik, di mana kami pernah melaluinya sebelum ini,” ujar Poncharal, merujuk kepada kata-kata ‘motivasi’ yang telah diberikan kepada penunggang tersebut di Misano pada tahun lalu.

Herve Poncharal – Sumber imej: GPOne

“Dia berjaya mendapat tempat ke-sembilan sewaktu perlumbaan kedua dalam kejohanan MotoGP pada tahun lalu, jadi kami sedia maklum dengan potensi yang dia ada.”

“Namun, sesi FP1 semalam cukup teruk sekali. Dia nampak seperti awak (Simon Crafar) atau saya yang menunggang motosikal tersebut di atas litar. Saya berasa amat marah.”

Tetapi selepas tiga pusingan dalam FP2, dia memperbaiki catatannya sebanyak dua saat, yang mana satu peningkatan yang ketara. Kami tidak melakukan sebarang perubahan pada motosikal, jadi jelas sekali ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Pada waktu ini dia tidak berani untuk mencuba sepenuhnya, atas sebab yang saya mahu pun dia tidak dapat jelaskan.”

Bagaimana pun, Poncharal memberikan jaminan yang pasukan KTM Tech 3 tetap menyokong penuh Hafizh dalam usahanya.

Pendapat Hafizh Syahrin

Motorsport.com telah meminta pandangan Hafizh mengenai kata-kata Poncharal. “Pagi semalam ia rasa sama seperti di Qatar dan juga sewaktu ujian. Saya tidak mendapat cengkaman yang baik dengan motosikal.”

“Dan selepas kami melakukan sedikit perubahan (yang mana Poncharal mengatakan yang mereka tidak mengubah apa-apa pada motosikal), ia telah memeranjatkan saya, dan saya rasa ianya seperti sebuah motosikal yang berbeza, dan kami telah berjaya memperbaiki catatan masa.”

Hafizh akui yang dia masih membiasakan diri dengan motosikal. “Kini saya mula memahami motosikal ini lebih kurang 90 peratus. Saya hanya perlu lebih banyak pusingan.”

Pendapat kami

Sebelum anda mula mengutuk Poncharal, kita kena ingat yang MotoGP ini adalah sebuah perniagaan. Ianya bukan sekadar satu hobi mewah mereka yang kaya raya yang menggajikan penunggang untuk berlumba di litar di seluruh dunia. Ia memerlukan dana yang besar dan sebahagian besar dana ini datang dari para penaja.

Dan para penaja ini bukannya melakukan kerja amal, mereka menaja dengan harapan melihat jenama dan logo mereka yang terpampang pada motosikal dipancarkan di seluruh dunia. Mereka mungkin mengatakan bahawa “Kami menggunakan kejohanan bertaraf dunia (MotoGP) bagi membangunkan teknologi kami”, namun, sejujurnya, ianya untuk keterlihatan jenama. Penaja ingin dikaitkan dengan pemenang. Kalau anda seorang penaja, adakah anda akan menaja pasukan yang di belakang? Semestinya tidak.

Malangnya, hanya kelompok penunggang teratas dan mereka yang terbabas yang akan mendapat perhatian sewaktu satu-satu hujung minggu perlumbaan. Kebanyakan masanya, kamera akan tertumpu pada pencabar utama kejohanan, yang mana visualnya akan dipancarkan ke jutaan televisyen di seluruh dunia.

Dan atas sebab itu, para penunggang dan pasukan yang berada di kelompok belakang menjadi halimunan, melainkan sewaktu mereka terbabas. Dan pada waktu itu sekali pun, para pencabar utama yang terbabas yang akan dapat waktu siaran yang lebih panjang. Penaja akan menghadapi masalah untuk meyakinkan para pemegang saham akan kos penajaan dan mula memberi tekanan kepada pengeluar. Pengeluar pula akan mendesak ketua pasukan, dan ketua pasukan pula akan turun ke pit dan mula mendesak pasukannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang dan juga ketua pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team, Dato’ Ahmad Razlan Ahmad Razali, telah diajukan soalan berkenaan dengan prestasi Hafizh Syahrin sewaktu satu temuramah baru-baru ini. Beliau mengatakan bahawa beliau telah berbicara dengan Hafizh di Qatar. “Saya beri satu nasihat kepadanya: Jangan anggap Petronas Yamaha Sepang Racing Team sebagai sandaran, kerana kami telah menandatangani Morbidelli dan Quartararo selama dua tahun,” ujar Dato’ Razlan.

Beliau juga menambah bahawa memasuki MotoGP agak mudah, namun, kekal dalam MotoGP adalah satu perkara yang berbeza sama sekali. “Sasaran Tech 3 untuk Hafizh bagi tahun 2019 adalah untuk mendapat keputusan yang lebih baik berbanding teman sepasukan baharunya, Miguel Oliveira.”

“Saya juga telah memberitahunya untuk berhenti membandingkan jentera KTM dengan motosikal Yamaha yang dikemudinya tahun lalu.”

Sama seperti Poncharal, SIC menyokong usaha Hafizh. “Kami telah melakukan yang sebaik boleh dalam usaha membantu Hafizh, termasuklah mendapatkan khidmat ahli psikologi sukan untuknya.

Kami berharap yang Hafizh Syahrin akan mengatasi cabaran ini dengan jayanya. Kami faham yang ianya bukan sesuatu yang mudah untuk menjadi penunggang MotoGP, yang mana ianya dunia yang mengutamakan kecemerlangan.

NOTA

Kebanyakan pencabar utama turut mengalami masalah dengan cengkaman di litar Termas Rio Hondo di Argentina. Litar ini jarang digunakan melainkan untuk MotoGP. Oleh kerana itu, permukaan litar ini kurang cengkaman. Maverick Viñales memulakan perlumbaan di petak kedua namun kehilangan 1.5 saat bagi setiap pusingan di belakang pemenang perlumbaan, Marc Marquez. Alex Rins hanya mampu melayakkan diri di atas grid perlumbaan di P16, dengan jentera Suzuki dan terpaksa berpuas hati dengan tempat ke-lima. Johann Zarco yang mengemudi jentera pengilang KTM turut menghadapi kesukaran, menamatkan perlumbaan di tempat ke-15, satu anak tangga di hadapan Hafizh Syahrin. Andrea Dovizioso mengatakan yang dia kecewa kerana hanya dapat melintasi garisan penamat di tempat ke-tiga setelah terpaksa menjaga tayarnya yang haus.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]