FP2 MotoGP Argentina 2019: 21 Orang Penunggang Dipisahkan Dengan Jarak Satu Saat

  • Sesi FP2 bagi pusingan MotoGP Argentina 2019 telah menyaksikan 21 orang penunggang hanya dipisahkan dengan jarak masa satu saat.
  • Andrea Dovizioso muncul terpantas dalam sesi ini.
  • Jorge Lorenzo pula di tempat ke-21 dengan jarak masa 0.978 saat di belakang.

Sesi “Free Practice 2” (FP2) bagi pusingan MotoGP Argentina 2019 bermula dengan cuaca yang mencurigakan namun berakhir dengan 21 orang penunggang dipisahkan dengan hanya perbezaan mata sebanyak satu saat.

Sesi ini bermula agak perlahan, sehinggalah apabila laluan pit dan litar mulai rancak dalam tempoh sepuluh minit terakhir. Hujan yang turun sekali lagi mengancam untuk menghentikan sesi akan datang, dan oleh kerana itu, setiap pasukan telah memanfaatkan situasi ini sebaiknya bagi mencatatkan masa terpantas. Berdasarkan format kelayakan semasa, catatan masa terbaik dari ketiga-tiga sesi Latihan Bebas bakal menentukan kedudukan mereka sama ada bagi sesi Kelayakan 1 (Q1) atau Kelayakan 2 (Q2).

Meneruskan momentum kemenangannya di Qatar, penunggang pasukan Team Winnows Ducati, Andrea Dovizioso telah mencatatkan masa terpantasnya, 1.39:181. Penunggang Repsol Honda, Jorge Lorenzo mencatatkan masa terbaiknya 1.40:159, 0.978 saat lebih perlahan berbanding Dovizioso. Dovizioso menamatkan sesi sebagai penunggang terpantas, Lorenzo pula berada di tempat ke-21.

Penunggang pasukan Pramac Racing, Jack Miller, sekali lagi menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, mencatatkan masa terbaiknya, 1.39:190, hanya 0.009 saat di belakang Dovizioso.

Maverick Viñales mengejutkan ramai apabila dia meletakkan pasukan Monster Energy Yamaha di tempat ketiga terpantas dengan catatan masa 1.39:345. Cal Crutchlow dari pasukan LCR Honda pula ditempat keempat terpantas dengan catatan masa 1.39:346, manakala wakil pasukan Petronas Sepang Racing Team, Fabio Quartararo, melengkapkan lima penunggang terpantas dengan catatan masa 1.39:357.

Ini bermakna lima penunggang terpantas hanya dipisahkan dengan perbezaan masa sebanyak 0.176 saat.

Valentino Rossi, Alex Rins, Marc Marquez, Franco Morbidelli, dan Takaaki Nakagami telah melengkapkan posisi keenam hingga ke-10. Nakagami hanya ketinggalan 0.448 saat di belakang Dovizioso.

Sesi FP3 MotoGP akan bermula pada jam 9.50 malam ini, diikuti dengan Q1 pada jam 2.05 pagi dan Q2 pada jam 2.30 pagi.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]