Sebuah Syarikat Jepun Merancang Untuk Memasarkan Motosikal Terbang Menjelang 2022

  • Sebuah syarikat dari Jepun, A.L.I. Technologies sedang dalam perancangan untuk memasarkan motosikal terbang keluaran mereka menjelang tahun 2022.
  • Kenderaan ini dibangunkan bagi memudahkan perjalanan di negara yang membangun dengan jalan raya yang teruk.
  • Syarikat ini merancang untuk memperkenalkan model edisi terhad menjelang lewat tahun hadapan.

Kenderaan (kereta dan motosikal) terbang telah menjadi topik yang hangat sejak kebelakangan ini. Daripada kita bercerita tentang prototaip kereta terbang yang telah menerima kritikan panas di atas talian semalam, ada baiknya kita bercerita mengenai motosikal terbang.

Sebuah syarikat yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun, A.L.I. Technologies Inc., sedang mensasarkan untuk memasarkan motosikal terbang pengeluaran kilang menjelang tahun 2022.

Syarikat berkenaan pada ketika ini terlibat dengan perusahaan dron, dan kini telah mengorak langkah bagi membangunkan sebuah motosikal ‘hover bike’ untuk pasaran negara sedang membangun dengan jalan raya yang teruk di Afrika, Timur Tengah dan juga Asia. Kebanyakan syarikat lebih tertumpu kepada pembangunan kereta terbang namun hanya segelintir sahaja yang sedang mengusahakan pembangunan motosikal terbang.

“Kami akan cipta motosikal terbang dahulu, bagi membolehkan penggunaan kereta terbang diterima luas dalam masyarakat pada masa yang akan datang,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif A.L.I. Technologies Inc., Shuhei Komatsu.

“Hover bike kami adalah gabungan pelbagai teknologi dron,” tambahnya lagi. Dia turut menyatakan keyakinannya bahawa syarikatnya itu boleh mempopularkan motosikal terbang.

A.L.I. mensasarkan untuk mengapungkan motosikal sebanyak beberapa sentimeter dari atas tanah dengan menggunakan bilah kipas baling (propeller), Pengesannya akan memberikan maklumat kepada mesin tersebut bagi membolehkannya mengekalkan altitudnya di atas permukaan yang tidak rata atau pun halangan.

Syarikat ini juga sedang berusaha untuk memperkenalkan model edisi terhad pertama mereka menjelang lewat tahun hadapan. Tempahan akan mula dibuka dari bulan Mei 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.