Kumpulan Motosikal Melindungi Masjid Di Seluruh New Zealand

Sumber imej: Getty Images dan Business Insider
  • Kumpulan-kumpulan bermotosikal telah melindungi masjid di seluruh New Zealand berikutan serangan masjid Christchurch.
  • Serangan berkenaan terjadi pada 15 Mac 2019 di dua buah masjid di Christchurch, sewaktu Solat Jumaat.
  • Kumpulan-kumpulan ini memberikan perlindungan kepada komuniti beragama Islam bagi membolehkan mereka beribadat dengan aman.

Kumpulan-kumpulan bermotosikal telah melindungi masjid-masjid di seluruh New Zealand berikutan serangan masjid minggu lalu. Serangan berkenaan telah berlaku pada 15 Mac 2019, di dua buah masjid di Christchurch, sewaktu Solat Jumaat. 50 orang telah terkorban manakala 50 lagi tercedera.

Kumpulan-kumpulan bermotosikal (atau lebih kerap digelar sebagai geng motosikal oleh media massa) ini, antaranya adalah The Mongrel Mob, King Cobra, dan The Black Power, berikrar akan melindungi komuniti beragama Islam kawasan mereka.

The Mongrel Mob berikrar akan melindungi Masjid Jamia di Hamilton. Presiden kumpulan Mongrel Mob Waikato, Sonny Fatu, “Kami akan menyokong dan membantu saudara-saudara beragama Islam selama mana yang mereka perlu.” Dia juga turut menambah yang kumpulannya telah dihubungi oleh wakil komuniti beragama Islam yang mengatakan mereka risau akan keselamatan mereka sewaktu menjalankan ibadat Solat Jumaat. “Kami diminta untuk menjadi daripada sebahagian daripada jaringan keselamatan bagi membolehkan mereka beribadat tanpa rasa takut.”

“Sudah pasti kami boleh melakukannya, tiada sebarang halangan dan kami akan berpakaian yang sesuai. Kami tidak akan bersenjata. Kami akan menjaga perimeter dalam pagar masjid dengan ahli komuniti yang lain dengan aman.”

Sumber imej: Getty Images dan Business Insider

Dr. Asad Mohsin, presiden Persatuan Muslim Waikato mengatakan yang dia menghargai sokongan yang telah diterima daripada segenap pelusuk masyarakat. “Ia memberikan kami kekuatan untuk melawan kesedihan yang kami alami.”

“Kami ingin mengalukan mereka semua untuk datang ke masjid dan sama-sama beribadat dengan kami. Mereka adalah sebahagian daripada kami seperti mana kami adalah sebahagian daripada mereka. Islam bersifat inklusif, tidak memandang serong – kami tidak menganggap mereka hanya sekadar ahli kumpulan motosikal.”

“Kami anggap mereka seperti mana-mana orang yang lain dan menghargai yang mereka juga turut melakukan yang sama untuk kami.”

Bercakap kepada New Zealand Herald, Dr. Mohsin turut mengatakan, “Tiada ketakutan dan kami tidak gentar. Mereka tidak perlu hanya berdiri di luar masjid, mereka boleh masuk ke dalam duduk di belakang di mana khutbah akan diberikan.”

Ahli kumpulan The King Cobra turut memberikan penghormatan kepada ahli senior masjid Al-Masjid Al-Jamie di Ponsonby pada hari Sabtu.

Cawangan kumpulan Mongrel Mob yang lain turut menunjukkan penghormatan mereka di seluruh negara, termasuklah cawangan Aotearoa yang telah memberikan penghormatan mereka di Hagley College di Christchurch.

Malah, telah dilaporkan bahawa salah sebuah cawangan kumpulan bermotosikal yang ada di Australia telah meronda kawasan sebuah masjid di Sydney.

Kami di MotoMalaya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga para mangsa dan mendoakan mereka diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.

Kepada kumpulan-kumpulan bermotosikal berkenaan, terima kasih kami ucapkan.

Sumber: Evening Standard

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]