Indonesia Muncul Pasaran Motosikal Terbesar Di Asia Tenggara Bagi Tahun 2018

Sumber imej: The Jakarta Post
  • Indonesia telah menyaksikan jumlah jualan motosikal yang terbesar dalam rantau Asia Tenggara pada tahun 2018.
  • Keseluruhan jumlah itu adalah hampir separuh daripada jumlah jualan keseluruhan bagi seluruh rantau ini.
  • Populasi negara yang besar serta tahap pendapatan penduduknya menyumbang kepada jumlah tersebut.

Kita sudah sedia maklum bahawa Indonesia merupakan pasaran motosikal terbesar bagi rantau Asia Tenggara, di mana ianya sama ada negara berkenaan atau pun Vietnam yang memegang pasaran terbesar di Asia Tenggara ini.

Bagaimana pun, data terbaru oleh ASEAN Automotive Federation (AAF) dan Federation of Asian Motorcycle Industries (FAMI) telah mengesahkan yang jumlah terbesar motosikal yang dijual bagi tahun 2018 adalah di Indonesia.

Untuk tahun itu sahaja, pengeluar dan pengedar motosikal di Republik yang mempunyai populasi sebanyak 260 juta berkenaan telah menjual sejumlah 6,383,111 unit. Jumlah berkenaan mewakili 47% bagi jumlah keseluruhan jualan motosikal di rantau Asia Tenggara. Dari segi nisbahnya, 1 daripada 40.7 orang di negara berkenaan telah membeli sebuah motosikal.

Pasaran kedua terbesar bagi tahun 2018 adalah Vietnam, dengan jumlah jualan sebanyak 3,386,097 unit. Populasi negara berkenaan adalah sebanyak 94 juta orang. Menukarkannya menjadi satu nisbah, ianya menjadikan 1 daripada 27.7 orang di negara berkenaan telah membeli sebuah motosikal.

Jadi, walaupun Indonesia telah menyumbang kepada jumlah yang lebih besar, sebenarnya lebih ramai warga Vietnam yang telah membeli motosikal. Ini juga bermakna yang masih ada banyak ruang untuk jualan motosikal, sekiranya kita mengetahui jumlah populasi motosikal semasa dalam setiap negara.

Di tempat ketiga adalah Thailand dengan 1,788,323 motosikal yang telah dijual. Pasaran motosikal negara berkenaan tampak seperti telah mencapai tahap saturasi. Filipina mengikuti rapat dengan 1,582,901 unit. Malaysia menyumbangkan jumlah sebanyak 494,254 buah motosikal. Singapura pula telah menjual sebanyak 10,377 buah motosikal.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.