Kemunculan Motosikal Terbang Menggemparkan Warga Thailand

Motosikal yang tersangkut di atas kabel elektrik – Sumber imej: kumpulan Facebook Honda CB650F Thailand
  • Kemunculan sebuah motosikal terbang telah mengemparkan warga Thailand.
  • Kejadian ini berlaku apabila sebuah motosikal yang terlibat dalam kemalangan tidak semena-mena tersangkut pada kabel elektrik.
  • Kemalangan itu telah berlaku di wilayah Surin.

Baru-baru ini kita telah mendengar khabar berita mengenai kereta terbang yang bakal muncul di negara kita pada tahun hadapan, tetapi, Thailand ternyata jauh selangkah di hadapan kita apabila mereka muncul dengan motosikal terbang baru-baru ini.

Namun begitu, motosikal terbang ini bukanlah sebuah projek yang dibangunkan oleh mereka secara sengaja. Sebaliknya, motosikal tersebut telah menjadi ‘motosikal terbang’ apabila ia terlibat dengan sebuah kemalangan jalan raya yang telah menyebabkannya tercampak lalu tergantung pada kabel elektrik bervoltan tinggi, setinggi 10 meter.

Saksi kejadian yang telah berlaku di daerah Kab Cheong, wilayah Surin itu telah melaporkan bahawa motosikal berkenaan sedang diangkut di belakang sebuah trak pikap Isuzu sewaktu terjadinya kemalangan tersebut.

Menurut saksi-saksi berkenaan, pemandu trak pikap Isuzu berkenaan membelok dengan tajam bagi mengelakkan berlakunya pertembungan dengan sebuah motosikal yang telah ditunggang menentang arus trafik. Trak berkenaan bagaimana pun telah terbalik akibat belokan tajamnya itu. Motosikal yang berada di atas ruang ‘flatbed’ di belakangnya itu telah terpelanting pada waktu itu. Trajektorinya itu menyebabkannya menuju terus ke arah kabel elektrik, menyebabkannya tersangkut di atas kabel berkenaan.

Bahagian kabin trak itu remuk akibat impak kemalangan. Mujur sekali, kelima-lima penumpang dan pemandu kenderaan tidak mengalami kecederaan yang serius dan telah dihantar ke hospital yang berhampiran.

Trak pikap Isuzu yang remuk akibat kemalangan berkenaan – Sumber imej: kumpulan Facebook Honda CB650F Thailand

Sumber: The Phuket News

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]