Tunggang Uji Vespa Sprint 150 ABS – Jentera Itali Yang Selesa, Berprestij, Dan Menawan

  • Generasi terkini model Vespa Sprint 150 ABS telah dilancarkan pada tahun lepas bersama dengan saudaranya, model Primavera 150 dan GTS 300 SuperSport.
  • Model Vespa paling sporty ini didatangkan dengan enjin satu silinder i-Get 155cc terkini yang menawarkan prestasi dan tahap penggunaan bahanapi yang memuaskan.
  • Di sini kami ingin menjawab persoalan sama ada model Sprint 150 ini benar-benar model yang lebih sporty atau hanya sekadar skuter dengan rupa bentuk yang moden dengan pelbagai perhiasan baharu.

Pasaran skuter di Malaysia telah dipenuhi dengan pelbagai pilihan merangkumi bermacam-macam jenama, kapasiti, rupa bentuk, dan untuk tugas yang berbeza yang menjadikan anda rambang mata untuk membuat pilihan yang paling sesuai untuk diri anda. Dengan begitu banyak pilihan, memilih model yang paling sesuai dengan kemahuan dan keperluan anda adalah satu cabaran yang berat namun, skuter Vespa Sprint 150 ABS 2018 ini mungkin dapat menjadikan tugas tersebut lebih mudah.

Vespa Malaysia telah melancarkan generasi terkini Vespa Sprint 150 ABS bersama dengan saudaranya, Primavera 150 ABS, dan GTS 300 SuperSport sewaktu konvensyen kasut “Sneakerlah” di MidValley Megamall. Semenjak itu, kami teringin untuk menunggang uji model Vespa ini kerana penulis sendiri pemilik skuter Vespa moden (Vespa Primavera 150 generasi sebelum ini, sebelum munculnya enjin i-Get baharu).

Skuter Vespa Sprint 150 ABS ini cukup mudah dikenali dengan rupa bentuk dan personanya yang ikonik itu. Dilabel sebagai pilihan ‘small body’ Vespa yang paling sporty dalam rangkaiannya yang terkini, fokus utama skuter Sprint ini adalah untuk menawan hati golongan yang lebih muda dengan gaya hidup yang ranggi ini. Berdasarkan rupa bentuknya itu, kami yakin sekali yang skuter ini berjaya dalam matlamatnya itu.

Vespa yang moden ini telah dimodenkan lagi dengan pengenalan aturcara lampu hadapan LED sepenuhnya yang memberikannya rupa paras yang lebih muda dan sporty. Dirumahkan dalam perumah bersegi empat tepat tanda pengenalannya itu, mereka yang lebih gemar dengan reka bentuk yang lebih kontemporari pasti menghargai bahagian luaran Sprint yang lebih ranggi berbanding dengan tawaran Vespa yang menawarkan aura yang lebih klasik (kecuali untuk model Vespa S125, yang merupakan versi Sprint yang lebih kecil).

Bergerak ke bahagian sisi dan belakangnya, skuter Sprint ini masih mempunyai rekabentuk Vespa yang ikonik yang masih digemari dan disukai ramai penggemar motosikal di Malaysia. Jadi tidak menghairankanlah apabila anda dapat melihat sejumlah bilangan unit yang ada di dalam bandar berbanding tahun-tahun sebelum ini. Salah satu ciri terbaik skuter Sprint sudah semestinya roda aluminium 12 inci rekaan baharu mereka yang meningkatkan lagi rupa paras sporty keseluruhannya.

Anda semua mungkin menganggap ianya satu lagi pengemaskinian ‘kosmetik’ (termasuklah reka bentuk ‘tie’ hadapannya) tetapi, bila didatangkan dengan tayar Maxxis, model Sprint ini telah menawarkan pengalaman menunggang yang ketara lebih sporty berbanding dengan Primavera 150 ABS yang berupa bentuk lebih klasik (yang menggunakan pilihan tayar Vee pada salah sebuah unit tunggang uji yang telah kami nampak).

Digandingkan dengan enjin empat lejang, satu silinder, sejukan udara i-Get 155cc yang patuh Euro4, model Sprint 150 ABS ini menghasilkan sekitar 12.9hp pada 7,750rpm dan 12.8Nm tork maksima pada 6,500rpm. Ianya enjin yang sama yang boleh didapati pada skuter Primavera 150 ABS tetapi, melalui pengalaman kami sendiri, skuter Sprint ini memberikan prestasi pemecutan yang lebih baik sedikit sesuai dengan tarikannya yang lebih sporty.

Kelajuan tertinggi yang dicatat dalam laman sesawang rasmi mereka adalah 91km/j tetapi kami telah berjaya mencapai kelajuan tertinggi 110km/j (lebih pantas sedikit jika turun bukit). Ada sahaja tawaran 150cc yang lain dalam pasaran yang lebih pantas namun bagi Vespa, mereka menawarkan sesuatu yang lebih dinamik dan menjimatkan bahanapi dalam segmen skuter moden klasik.

Dengan kapasiti penuh bahanapi sebanyak 8 liter, skuter Sprint (dengan kadar penggunaan bahanapi 44km per liter) mampu ditunggang sejauh 350km sebelum perlu berhenti untuk isian semula. Ini hanya secara teori berdasarkan gaya penunggangan amat menjimatkan tetapi berdasarkan pengalaman dunia sebenar kami (campuran penunggangan dalam bandar yang sesak, kesesakan trafik, dan penunggangan atas lebuh raya), kami berjaya mencapai jarak lebih sedikit dari 200km sebelum lampu amaran bahanapi mulai menyala.

Dari segi penunggangannya pula, kami dapati yang model Sprint ini menawarkan tahap kestabilan yang hebat walaupun ketika bergerak dengan kelajuan yang tinggi. Kenyataan yang berikutnya ini mungkin kedengaran agak melampau tetapi kami sejujurnya percaya yang keseluruhan rangkaian Vespa moden menawarkan antara pengalaman menunggang yang paling hebat dan selesa, meskipun ketika ditunggang pada tahap maksimumnya. Tiada gegaran atau goyangan yang tidak menyelesakan, ianya cukup lancar sekali.

Ciri moden lain yang ada pada skuter Sprint 150 ABS ini adalah peranti nyah-kecurian elektronik (untuk memberikan ketenangan jiwa apabila ia diparkir di kawasan yang agak meragukan), unit ABS hadapan (untuk keselamatan, brek belakangnya kekal bergaya klasik dengan brek dram), dan pelana yang boleh dibuka secara mekanikal di mana ruangan simpanan bawah pelana boleh dibuka dengan menekan sebuah butang berhampiran slot kunci penghidup enjin.

Ruangan simpanannya agak memuaskan di mana anda boleh memuatkan sebuah helmet ‘open face’ dan sut pelindung hujan dengan mudah (terdapat juga ruangan simpanan yang lebih kecil di bahagian hadapan di mana anda boleh muatkan telefon pintar dan dompet anda). Ruangan simpanan bawah pelana yang boleh dibuka secara kawalan jauh itu adalah satu tambahan yang cukup dialukan berbanding dengan model sebelum ini di mana anda perlu membukanya secara manual dengan menggunakan kunci.

Dari segi reliabiliti, Vespa memastikan semua bahawa tawaran generasi terkini mereka ini telah dibina dengan bahan-bahan yang berkualiti lebih tinggi namun satu-satunya cara untuk benar-benar mengujinya adalah dengan mengadakan ujian tempoh panjang. Kami mungkin tidak akan dapat mengujinya dalam masa yang terdekat ini namun berdasarkan testimoni oleh para pemiliknya, ianya cukup baik sekali setakat ini. Ini termasuklah dari mereka yang menunggang skuter ini setiap hari dan juga untuk perjalanan jarak jauh yang kerap (termasuklah ke Thailand).

Naza Premira (Vespa Malaysia) menawarkan model Vespa Sprint 150 ABS 2018 ini pada harga RM16,400 (harga asas tidak termasuk cukai dan insurans) dengan empat pilihan warna berbeza; Blue Matt, Monte Bianco, Rosso Dragon, dan Grigio Titantio.

Skuter Vespa Sprint ini juga didatangkan dengan rangkaian luas aksesori untuk pengubahsuaian termasuklah top box khusus, penyandar belakang, penghadang angin buatan khas dengan logo Vespa dan madgad krom hadapan dan belakang bagi mempertingkatkan lagi skuter Sprint baharu anda ini.

Kesimpulan yang dapat kami buat di sinilah adalah model Sprint 150 ABS ini ternyata sebuah pilihan yang menyeronokkan buat mereka yang sanggup berbelanja untuk mendapatkan sesuatu yang jelas sekali jauh lebih bergaya pada waktu dan ketika ini. Kestabilan adalah ciri utamanya yang kukuh yang mana dapat membantu dalam memberikan lebih keselesaan dalam perjalanan harian anda, digandingkan dengan prestasi yang memuaskan. Tidak kiralah sama ada anda seorang belia yang baharu sahaja mendapat lesen anda mahu pun seorang eksekutif syarikat yang berjaya, model Sprint 150 ABS ini cukup sesuai sekali dengan anda.

Inginkan sesuatu yang lebih istimewa? Beleklah tawaran terkini Vespa, edisi Notte yang disediakan untuk model Sprint dan GTS 300. Slogan mereka? “For those who own the night”.

Vespa Notte Sprint 150 & GTS Super 300 2019 edisi khas dilancarkan! Dari RM17,700

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply