207 Kenderaan Tersadai di Putrajaya Berdepan Tindakan Disita

Gambar hiasan.

Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri akan menunda sebarang kenderaan yang didapati tersadai disekitar Putrajaya di samping akan mengenakan denda terhadap pemilik kenderaan terbabit.

Menurut laporan akhbar tempatan, tindakan drastik itu bakal diambil ekoran isu kenderaan tersadai telah mengakibatkan kurangnya tempat letak kenderaan di kawasan kuarters selain daripada mendatangkan bahaya terhadap kanak-kanak serta menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Difahamkan, operasi secara bersama akan dilaksanakan bagi membenarkan penghuni lain menggunakan kemudahan pakir sedia ada.

“PPj mengadakan perjumpaan setiap bulan dan antara perkara yang sering diketengahkan adalah masalah kenderaan tersadai,” kata Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim ketika Program Kick Off Penundaan Kenderaan Tersadai, semalam.

Sejurus pelancaran program, dua buah kereta telah pun disita dan pemilik turut dikenakan denda RM100 selain caj simpanan RM80 sehari di depoh simpanan PPj yang terletak di Presint 20.

Selain itu, PPj telah mengenal pasti 207 kenderaan tersadai yang terdiri daripada 80 kereta dan 127 motosikal.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.