Sebuah Motosikal Foggy-Petronas FP1 Dijual Pada Harga RM167,149

  • Sebuah jentera Foggy-Petronas FP1 telah dilelong pada harga RM167,149 (£31,275) dalam sebuah pertunjukan retro di England.
  • Panel badannya telah dibaik pulih sepenuhnya dan motosikal ini boleh digunakan.
  • Motosikal ini adalah model homologasi untuk kejohanan World Superbike.

Sebuah motosikal Foggy-Petronas FP1 telah dijual pada harga RM167,149 (£31,275) di England.

MCN telah melaporkan bahawa motosikal yang telah dijual tersebut datang dengan hanya 7km atas odometernya dan telah dijual di sebuah pertunjukan retro di Warwickshire. Unit berkenaan dihasilkan pada tahun 2003 namun panel badannya telah dibaik pulih kepada kemasan grafik asal Petrones oleh pengeluar berkenaan.

Kami telah melaporkan kira-kira sebulan yang lalu mengenai motosikal-motosikal Foggy-Petronas FP1 yang telah dibeli oleh sebuah firma kereta lumba British, Lanzante. Namun, syarikat berkenaan tidak mendedahkan jumlah unit yang telah mereka miliki. Mereka juga menegaskan bahawa motosikal-motosikal yang telah mereka beli bukannya dari kumpulan 129 buah motosikal yang dirampas oleh pihak Kastam Malaysia.

MCN telah mendapati adanya 60 buah jentera FP1 yang berada dalam sebuah gudang di Essex pada 2010. 60 unit tersebut bersama dengan 69 buah motosikal yang lain telah dijual kepada Momoto di Malaysia dan telah dijenamakan semula sebagai Momoto MM1. Namun, ianya telah dirampas oleh pihak Kastam kerana gagal membayar duti eksais dan import. Momoto mengambil tindakan menyaman Petronas tetapi sehingga kini tiada khabar mengenai perkembangannya.

Motosikal Fogy-Petronas FP1 ini adalah sebuah jentera yang sah untuk kegunaan jalan raya, yang dikilangkan sebagai model homologasi untuk kejohanan World Superbike. Enjin tiga silinder 899cc Sauber Racing menghasilkan 127hp pada 10,000rpm dan 92Nm tork pada 9,700rpm. Motosikal ini dilengkapi dengan pelbagai komponen berteknologi tinggi seperti suspensi Öhlins, roda OZ Racing, dan brek Brembo.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.