Ducati Dan Next Bike Sdn. Bhd. Perbaharui Kerjasama Mereka

  • Next Bike Sdn. Bhd. adalah anak syarikat Naza Group dan bertanggungjawab ke atas pengedaran motosikal Ducati sejak tahun 2008.
  • Ducati dan Next Bike Sdn. Bhd. telah memperbaharui komitmen mereka dalam memperkembangkan jenama berkenaan di Malaysia.
  • Next Bike Sdn. Bhd. akan memindahkan ibu pejabat Ducati Malaysia ke bangunan baharu di Petaling Jaya.
  • Bangunan baharu ini akan menerima kemaskini bernilai RM3 juta dan tampil dengan teknologi terkini bagi menyelenggara motosikal Ducati dan Scrambler.

Next Bike Sdn. Bhd., anak syarikat bagi salah sebuah syarikat swasta terbesar di Malaysia, Naza Group, merupakan pengedar rasmi jenama Ducati di Malaysia sejak tahun 2008. Sejak itu, Next Bike Sdn. Bhd. telah membangunkan jenama Ducati sehingga menjadi jenama yang paling diingini di Malaysia.

Syarikat berkenaan berjaya mengecapi pencapaian ini dengan menawarkan bilik pameran dan pusat perkhidmatan yang tercanggih, kakitangan yang berpengetahuan dan lengkap dengan alatan yang sesuai untuk penyelenggaraan, harga-harga yang menawan, kehadiran atas talian yang ramah, dan sebuah kelab pemilik yang teramat aktif, dikenali sebagai Desmo Owners Club.

Melalui langkah-langkah ini, jenama Ducati telah menikmati kejayaan yang membanggakan di bawah jagaan Next Bike Sdn. Bhd. Modelnya yang paling popular, yang tidak disangka adalah Ducati Multistrada (atas), diikuti oleh Monster 821, Panigale V4, dan model Hypermotard 939.

“Next Bike Sdn. Bhd. telah dan akan senantiasa kekal komited dalam membina jenama Ducati di Malaysia. Kami ingin menawarkan kepada para pemilik Ducati perkhidmatan selepas jualan bertaraf dunia dan kami senantiasa berusaha dalam mempertingkatkan pengalaman pemilikan para penunggang Ducati,” ujar encik Nazman S.H.C Yusof (atas, tengah), Ketua Divisyen 2 Roda, Naza Automotive Group.

Encik Nazman telah bersama dengan Naza Group sejak tahun 2012, dan telah mengepalai perusahaan dua roda bagi syarikat berkenaan sejak tahun 2018 dan secara peribadi telah mengawasi perkembangan dan pembangunan motosikal Ducati di Malaysia.

Bercakap mengenai hubungan antara Ducati dan Next Bike Sdn. Bhd., encik Raffaele Fusili (atas, tengah), Pengarah Jualan Global bagi Ducati Motor Holding, berkata, “Pengalaman bekerjasama dengan Naza telah membuahkan hasil yang lumayan buat kami. Naza bukan sahaja mempunyai minat yang mendalam terhadap jenama Ducati dan nilai-nilainya, tetapi, bersama Naza, Ducati boleh mengharapkan pada salah sebuah jenama perniagaan paling penting di Malaysia. Kami tahu bahawa kami boleh menyandarkan harapan pada Naza bagi membina jenama Ducati di Malaysia.”

Encik Raffaele telah berada di Malaysia untuk satu mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Naza dan telah meluangkan masa untuk bertemu dengan warga media yang terpilih. “Naza berada di landasan yang betul, syarikat ini senantiasa mencari jalan untuk terus berkembang, begitu juga dengan Ducati, jadi, ini menjadikan Naza sebagai rakan kongsi yang sesuai untuk kami kerana kami berkongsi matlamat yang sama. Naza turut berfokuskan kepada meletakkan kepuasan pelanggan di tempat pertama, dan kemudiannya barulah jualan, yang mana sejajar dengan matlamat Ducati.” rumusnya lagi.

Sewaktu pertemuan itu, Nazman mengambil peluang tersebut untuk memperkenalkan rancangan bagi meneruskan perkembangan pesat Ducati di Malaysia, menggariskan rancangan untuk separuh pertama tahun ini.

“2019 akan menjadi tahun yang tiada taranya buat Ducati Malaysia, kami akan memperkenalkan sembilan buah model baharu pada tahun ini, namun yang lebih utama lagi, kami akan berpindah ke ibu pejabat baharu yang akan dibina khusus bagi menyediakan yang terbaik dari Ducati, untuk sub jenamanya, Scrambler Ducati, begitu juga dengan alat ganti, aksesori, pakaian dan kelengkapan menunggang,” ujar Nazman.

Ducati Malaysia akan berpindah ke bekas bilik pameran Harley-Davidson di tepi Lebuhraya Persekutuan sebagai sebahagian daripada rancangan pengemaskinian bernilai RM3 juta merek untuk memperkukuhkan lagi jenama Ducati di malaysia – Sumber imej: WeMotor

Tambahnya lagi, “Next Bike Sdn. Bhd. telah membelanjakan RM3 juta dalam pembinaan Pusat 3S baharu ini, yang mana ianya dua kali lebih besar dari yang sedia ada. Ia ada sebuah bilik pameran yang mengagumkan yang akan memperagakan motosikal Ducati dan Scrambler yang menawan, dan paling utama sekali ia akan berfokuskan kepada perkhidmatan selepas jualan. Pengguna Ducati boleh menghantar motosikal mereka untuk diselenggara di bengkel yang canggih ini, lengkap dengan alatan terkini serta peralatan yang direka khas untuk menyelenggara motosikal Ducati. Kami juga ingin menjadi perintis dalam keselamatan penunggang dan motosikal, jadi kami berharap bahawa pusat baharu ini akan membolehkan para pemilik Ducati untuk berkumpul bagi berkongsi idea tentang penunggangan dan juga untuk mengadakan program yang akan mempertingkatkan lagi keselamatan penunggang.”

Encik Nazman turut menambah bahawa akan ada satu pasukan baharu yang akan ditubuhkan khusus untuk membangunkan lagi jenama Scrambler Ducati (atas) di Malaysia dan ia akan bergerak berasingan dari pasukan Ducati. Ini akan dilaksanakan untuk mengembangkan lagi jenama Scrambler di dalam negara, secara berasingan daripada jenama Ducati.

Next Bike Sdn. Bhd. juga ingin memperkukuhkan lagi kedudukannya di negeri Johor; “Kami telah sentiasa ada di Johor, namun kini kami sedang mencari peluang untuk mencipta kehadiran yang lebih besar melalui wakil pengedar yang baharu. Bersama dengan Ducati Motor Holding, kami sedang giat menemuramah calon wakil pengedar dan pasti akan menemui wakil pengedar yang sesuai dalam masa yang terdekat. Kami telah pun mempunyai 3 wakil pengedar di wilayah tengah Malaysia dan satu di Pulau Pinang, dan dengan satu wakil pengedar baharu di kawasan selatan, kami yakin yang kami mampu mencapai pasaran yang lebih luas dan ianya pasti akan membantu dalam meningkatkan jualan dan juga mencipta pengalaman pemilikan yang positif,” ujar encik Nazman.

Ducati Malaysia tampak sedia untuk mengecapi hasil yang memberangsangkan bagi tahun 2019 dengan pelan perancangan mereka yang kukuh. Dengan ini, ianya adalah masa yang amat sesuai sekali untuk memiliki sebuah Ducati. Secara peribadinya, kami cukup terliur dengan model Scrambler Ducati 1100 Sport, yang mana anda boleh ketahui dengan lebih lanjut mengenai jentera menakjubkan ini DI SINI.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.