Sesi Bual Bicara Bersama Gabriel Conti, Jurutera Telemetri Pasukan Ducati MotoGP

Andrea Dovizioso – Sumber imej: MotoGP.com

Kami telah berpeluang untuk duduk bersembang dengan Gabriel Conti, Jurutera Telemetri Pasukan Ducati MotoGP bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang bagaimana pasukan Ducati MotoGP menggunakan maklumat dan data yang ada.
Kami dapati bahawa perlumbaan ini bukan sekadar memulas pendikit sesuka hati.
Data yang dikumpulkan akan digunakan untuk penyediaan motosikal dan merancang strategi perlumbaan.

Kami telah berpeluang untuk duduk bersembang dengan Gabriel Conti, Jurutera Telemetri bagi pasukan pengilang Ducati MotoGP sewaktu pusingan MotoGP Malaysia yang lalu. Ducati telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada separuh kedua musim yang lalu.

Kita juga telah menyaksikan bagaimana penunggang pasukan berkenaan, Andrea Dovizioso dan Jorge Lorenzo mampu mengekalkan rentak yang pantas sepanjang perlumbaan, tetapi pada masa yang sama, tetap mempunyai cengkaman yang mencukupi pada tayarnya untuk mengerah seluruh kebolehannya pada lima pusingan yang terakhir. Adakah ianya kerana tayarnya? Atau kelengkapan elektroniknya?

MotoMalaya (MM): Apakah strategi yang digunakan yang membolehkan para penunggang Ducati menunggang pada rentak yang tinggi sehingga penghujung perlumbaan? Adakah ianya kerana strategi elektroniknya?
Gabriel Conti (GC): Secara teknikalnya ianya bermula dari tayar kerana hanya ada sebuah pembekal tayar untuk semua pasukan. Kami perlu menganalisa tindak balas tayar dan dengan data berkenaan kami boleh mencari cara untuk menjaga tayar dengan lebih baik.

Dengan begitu banyak data yang ada kami boleh mengawal situasinya. Tidak seperti Formula 1, kami tidak boleh menukar strateginya sewaktu perlumbaan. Kami tidak boleh bercakap dengan penunggang (kerana tiada radio dua hala), kami tidak boleh menyampaikan data (ke motosikal), kami tidak boleh membaca data (dari motosikal). Oleh kerana itu, ianya amat penting untuk memulakan perlumbaan dengan data (yang kami ada). Kami putuskan strateginya sebelum bermulanya perlumbaan, supaya para penunggang tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Para jurutera akan mengkaji datanya sepanjang malam. Kami ada dua mesin automatik yang membuat perkiraan untuk tayar, kelengkapan elektronik, dan atur cara motosikal.

Selebihnya terletak di tangan penunggang.

Tugas kami adalah menyediakan kelengkapan elektronik untuk motosikal supaya ianya tidak sekadar pantas untuk satu pusingan sahaja tetapi pantas sepanjang perlumbaan. Jadi, dalam lima pusingan terakhir dalam sesuatu perlumbaan, tayarnya akan mencukupi untuk didesak sehingga penghujung perlumbaan.

Kami mulakan dengan memperolehi dan menggunakan data dari sesi ujian pra musim dan menyediakan motosikal menggunakan data berkenaan pada permulaan musim. Semakin lama, semakin banyak data yang kami perolehi setiap kali motosikal berkenaan berlumba dan kami bangunkan lagi penyediaannya. Data yang telah kami simpan ini penting terutamanya sewaktu keadaan cuaca yang berbeza.

Sebagai contoh, jika hujan turun sepanjang hujung minggu dan sesi latihan tidak dapat dijalankan, kami sudah ada data yang boleh digunakan.

Wartawan lain: Bagaimanakah ia dapat memberi manfaat sewaktu perlumbaan?
Gabriel Conti: Data ini membantu kami dalam menyediakan motosikal dari segi tayar, suspensi, kelengkapan elektronik, kawalan cengkaman, prestasi enjin. Jadi, gabungan penunggang dan data adalah amat penting. Kami amat bergantung kepada data dalam kejohanan ini.

Wartawan lain: Apakah peranan yang dimainkan oleh Net.App dalam pasukan Ducati?

Gabriel Conti: (Pengumpulan) data telah meningkat daripada tahun-tahun yang lalu. Contohnya, saya masih ingat pada tahun 2005, kami tidak mempunyai data sebanyak ini. Kami tidak menghantarnya ke kilang, kami tidak banyak menggunakannya.

Namun kami mula meningkatkan pengumpulan data selepas tahun 2006, bagi melakukan analisa yang lebih mendalam.

Kini kami banyak menggunakan data. Apa yang telah kami pertingkatkan adalah “mesin pintar” yang menganalisa data yang besar pada kadar yang lebih pantas berbanding oleh para jurutera. Prestasi kami bertambah baik kerana kami memiliki ramai penunggang, dan lebih banyak data bagi membolehkan kami memilih strategi yang sesuai.

Daripada membiarkan kilang mengambil masa menganalisa data, kami ingin membawa kilang ke litar.

MotoMalaya: IMU seragam akan digunakan pada musim 2019. Apakah kesannya kepada Ducati?
Gabriel Conti: Biar saya terang situasinya. Pada masa lalu, empat tahun lalu, kelengkapan elektroniknya berbeza. Selepas itu kami bermula dengan perkakasan ECU yang seragam, namun, anda masih boleh membangunkan perisiannya sendiri. Kemudiannya, ECu dan perisiannya juga telah diseragamkan (pada tahun 2016 – editor).

Tetapi para pengilang Jepun masih mahukan IMU yang ‘bebas’. IMU itu sendiri bukannya sebuah pengesan, tetapi ia (memperolehi data) daripada 6 pengesan yang disuapkan kepadanya. Ini bermakna ada satu algoritma yang menentukur (paksi pergerakan yang berbeza) jadi ini menimbulkan keraguan. Jadi, akhirnya, ke semua pengilang bersetuju untuk memiliki IMU seragam.

Anda masih boleh menentukur IMU seragam tetapi sebanyak mana, masih belum diketahui.

Wartawan lain: Boleh anda kongsi dengan kami satu contoh anda perlu memberitahu penunggang anda untuk menunggang dengan lebih laju berdasarkan data yang anda ada?

Gabriel Conti: Ah! Banyak, banyak kali! Penunggang akan meneliti data bagi membandingkan diri dengan penunggang lain atau penunggang yang lalu. Sebagai contoh, sewaktu Valentino Rossi bersama kami, dia membandingkan dirinya dengan Casey Stoner. Kami ada sebuah indeks prestasi yang telah kami berikan pada hujung setiap sesi bagi menunjukkan di mana kelebihannya dan di mana dia masih lemah.

Ini bukannya untuk mengatakan yang dia perlu sentiasa mendesak motosikalnya tetapi bagi penunggang tersebut menyedari bahawa dia mungkin terlepas pandang sesuatu aspek. Andrea Dovizioso adalah seorang penunggang yang pintar, tidak semua penunggang pandai menganalisa nombor yang ada. Dia berjaya menggunakannya untuk memperbaiki dirinya.

Wartawan lain: Di Qatar 2018, Dovi menang dengan jarak masa 0.02 saat.
Gabriel Conti: Lima tahun lalu dia kalah dengan perbezaan masa 0.02 saat. Dalam masa empat tahun jurang antara tempat kedua dengan pemenang adalah di bawah satu saat. Jadi, bagi merapatkan jurang 0.02 saat ini sukar untuk diperolehi penunggang. Gigi (Dall’Igna) selalu mengingatkan kami, “Beri perhatian kepada per seribu saat” kerana dalam jumlah per seribu saat itu boleh menentukan anda juara atau di tempat kedua.

Wartawan lain: Berapa banyak data yang dikumpulkan?
Gabriel Conti: Ketika ini, kami menjana sekitar 100 Gigabait data bagi setiap perlumbaan

KESIMPULAN

Perlumbaan MotoGP ini lebih daripada hanya memulas pendikit sepuas hati sehingga tamat perlumbaan. Begitu banyak perkara menarik yang terjadi di belakang tabir yang tidak dapat dibayangkan oleh kebanyakan kita!

Catatan masa yang menjadi masa pusingan ini adalah hasil data yang dikumpul. Di mana kita nampak sebagai nombor, jurutera nampak maklumat yang boleh membantu penunggang dan pasukan untuk memperolehi kemenangan.

Jadi, apabila anda nampak pasukan Ducati menang selepas ini, ingatlah betapa banyak data dan maklumat yang dikumpulkan bagi membolehkan mereka memperoleh kemenangan berkenaan.

Sertai kami untuk Bahagian 2 esok di mana kami singkap rahsia peranan yang dimainkan oleh NetApp dalam kejayaan Ducati.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.