100,000 Perodua Myvi baharu telah dijual!

Perodua kini telah mencatat satu lagi kejayaan baharu dimana lebih dari 100,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga berjaya dijual kepada para pengguna di dalam negara setakat ini. Model yang dikatakan paling berjaya dalam sejarah Perodua mencatat nombor jualan besar ini walaupun baru dilancarkan pada November 2017. Setakat ini, jumlah tempahan untuk Perodua Myvi generasi ketiga telahpun mencecah lebih 150,000 dan pihak Perodua.

Menurut Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin, “Kami amat gembira untuk mengumumkan bahawa sejak pelancaran Perodua Myvi generasi ketiga pada November 2017, kami telah menyerahkan lebih daripada 100,000 unit kepada pelanggan kami yang dihargai – iaitu dengan purata lebih daripada 1,560 unit seminggu.”

“Perodua Myvi merupakan model yang paling berjaya dalam sejarah kami. Myvi generasi pertama diperkenalkan pada tahun 2005 ke dalam pasaran Malaysia yang pada ketika itu didominasi oleh kenderaan sedan. Menjelang 2013, ia telah mengatasi jualan keseluruhan kenderaan Kancil (708,000 unit dari 1994 hingga 2009) dan setakat ini, kami telah menjual hampir 1.1 juta Myvi secara keseluruhannya,” tambah Dato’ Dr Zahari.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana memilih Myvi – ini memberigalakan dan motivasi kepada kami untuk terus melakukan penambahbaikan supaya kami dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada anda. Di Perodua, kami tidak pernah lupa bahawa kami adalah syarikat yang mengutamakan insan (People First),” kata Dato’ Dr Zahari.

Perodua menutup tirai 2018 dengan rekod jualan 227,243 kenderaan, menjadikan Perodua syarikat pengeluar kenderaan terkemuka Malaysia selama 13 tahun berturut-turut. Perodua telah menjual hampir 3.5 juta kenderaan sejak tahun 1994.