Ujian Pra Musim MotoGP 2019 Sepang Maverick Viñales Dan Yamaha Muncul Terpantas Pada Hari Ke-2

  • Penunggang bagi pasukan Monster Yamaha, Maverick Viñales, merupakan penunggang terpantas pada Hari ke-2 Ujian Pra Musim MotoGP 2019 Sepang.
  • Dia berjaya mencatat masa 1 minit 58.897 saat, 0.067 saat di belakang rekod masa terpantas Ujian Pra Musim.
  • Marc Marquez jatuh ke tangga ke-lapan setelah tampil terpantas pada hari pertama.

Ujian Pra Musim MotoGP 2019 telah bermula di Litar Antarabangsa Sepang semalam. Aksinya telah diteruskan pada hari ini dengan Maverick Viñales dari pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP mencatatkan masa yang terpantas.

Penunggang pasukan Repsol Honda dan juara dunia bertahan, Marc Marquez berjaya mencatatkan masa terpantas pada hari pertama, melegakan sebarang kerisauan berkenaan bahunya yang masih dalam pemulihan. Dia hanya melakukan 29 pusingan sebelum berhenti untuk memberikannya lebih banyak masa untuk merehatkan bahunya, mencatatkan masa 1 minit 59.621 saat.

Namun, ianya berubah dengan pantas sekali dalam tempoh kurang dari 24 jam.

Valentino Rossi (Monster Yamaha) telah memulakan hari kedua sebagai penunggang terpantas sebelum diatasi oleh Andrea Dovizioso (Mission Winnows Ducati) dan Cal Crutchlow (LCR Honda).

Alex Rins (Suzuki Ecstar) kemudiannya telah merampas kedudukan tersebut dari Dovizioso. Rins telah berjaya mencatat masa kedua terpantas dengan jentera Suzuki-nya semalam. Penunggang bagi pasukan Pramac Ducati, Jack Miller telah memperbaiki catatan masanya dan meletakkannya di hadapan Dovizioso.

Bagaimana pun, satu cubaan pada penghujung sesi oleh Viñales telah menyaksikannya menduduki tangga teratas pada hari ini. Dia juga merupakan satu-satunya penunggang yang berjaya mencatat masa di bawah 1 minit 59 saat, dengan catatan 1 minit 58.897 saat. Catatan masa tersebut hanya 0.067 saat di belakang rekod catatan masa tidak rasmi Sepang, 1 minit 58.830 saat, yang telah dicatat oleh penunggang semasa pasukan Repsol Honda, Jorge Lorenzo, pada Ujian Pra Musim 2018 di atas jentera Ducati.

Berdasarkan pada catatan masa hari ini, beberapa orang penunggang mungkin sekali mampu mencecah masa di bawah 1 minit 58 saat pada hari esok, sekiranya cuaca mengizinkan. Ini kerana 19 penunggang teratas hanya dipisahkan dengan jarak satu saat sahaja!

Bagi Marquez pula, dia tidak dapat mencatatkan masa yang lebih pantas berbanding 1 minit 59.790 saat dengan enjin baharunya itu. Catatan masa tersebut meletakkan di tempat ke-lapan. Teman sepasukannya yang baharu, Jorge Lorenzo, tidak menghadiri ujian ini di mana dia masih dalam proses pemulihan tulang skafoidnya yang retak.

Selain daripada Johann Zarco yang telah mencatat masa ke-11 terpantas, para penunggang KTM yang lain hanya mampu berada di kedudukan yang lebih belakang, di mana mereka masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan jentera RC16 masing-masing.

Sumber Imej: MotoGP

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]