Ducati Panigale V4 Dinamakan Motosikal Lumba Terlaris Dunia Bagi 2018

  • Motosikal Ducati Panigale V4 telah dinamakan motosikal lumba terlaris dunia pada tahun 2018.
  • 6,100 unit telah dijual daripada keseluruhan 9,700 unit Panigale.
  • Bagaimana pun, jualan keseluruhan Ducati telah jatuh sebanyak 5% akibat kemerosotan pasaran Amerika Syarikat.

Lupakan tentang pengkritiknya, motosikal Ducati Panigale V4 telah terbukti sebagai motosikal lumba terlaris dunia pada tahun 2018.

Malah, Ducati mendahului para pengeluar motosikal lumba yang lain dengan jualan sebanyak 9,700 model Panigale. Jumlah ini bersamaan dengan 70% peningkatan berbanding tahun 2017. Daripada jumlah tersebut, 6,100 daripadanya adalah model Panigale V4 baharu. Jumlah tersebut amat menakjubkan, memandangkan harga motosikal berkenaan!

Ducati Panigale V4R 2019

Dan dengan itu, pengeluar dari Itali tersebut kini memegang 26% pasaran dalam segmen motosikal lumba. Benar, 1 daripada 4 buah motosikal lumba adalah sebuah Panigale.

Selain itu, rangkaian Multistrada juga turut menyumbang kepada jualan keseluruhan Ducati. 1,829 unit motosikal sport-tourer tersebut telah dijual pada tahun 2018. 6,569 daripadanya adalah dari rangkaian Multistrada 1260 baharu – peningkatan sebanyak 25%.

Ducati Multistrada 1260S 2018

Malangnya, jumlah jualan keseluruhan global Ducati telah turun sebanyak 5% kepada 53,004, yang mana telah mengakhiri rekod jualan selama 8 tahun. Penurunan ini adalah akibat penurunan sebanyak 9% dalam pasaran motosikal Amerika Syarikat.

Dan oleh kerana itu, Amerika Syarikat bukan lagi pasaran terbesar Ducati; takhta itu kini dipegang oleh Itali (peningkatan sebanyak 4.5%).

Pasaran membangun yang lain termasuklah China (peningkatan sebanyak 23%), Sepanyol (8%), Switzerland (2.2%), dan Jepun (2%).

Pengeluar dari Itali itu telah memperkenalkan 9 buah model baharu pada tahun 2019, ke semuanya dilengkapi dengan kawalan cengkaman berasaskan IMU dan ABS menyelekoh. Mereka berharap yang model-model baharu ini akan memacu jumlah jualan untuk tahun ini.

Ducati Diavel 1260S 2019

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]