Toby Price Menangi Rali Dakar 2019 Dengan Pergelangan Tangan Yang Retak

  • Toby Price telah memenangi perlumbaan Rali Dakar 2019 dengan pergelangan tangan yang retak.
  • Ini adalah kemenangan Rali Dakar keduanya sejak tahun 2016.
  • KTM telah memenangi perlumbaan rali ini buat kali ke-18 berturut-turut.

Bercakap mengenai pergelangan tangan yang retak, penunggang dari Australia, Toby Price, telah memenangi Rali Dakar 2019 walaupun telah mengalami kecederaan yang sedemikian.

Price memulakan tahap ke-10 dan terakhir rali berkenaan dengan jarak masa yang tipis, hanya satu minit di hadapan penunggang dari Chile, Pablo Quintanilla. Mereka telah pun menunggang hampir 5,200 kilometer pada saat itu.

Bagaimana pun, Quintanilla terbabas selepas hanya 10 kilometer daripada laluan 112 kilometer dari Pisco menuju Lima. Dia telah mengalami kecederaan pada kakinya yang menyebabkan Quintanilla ketinggalan 19 minit, menempatkannya di tempat ke-empat keseluruhan. Nasib malang yang menimpa Quintanilla membolehkan Price memenangi tahap itu dan dengan itu, keseluruhan perlumbaan.

Pencapaian Price ini bertambah menakjubkan kerana dia telah berlumba dengan kecederaan pada tulang pergelangan tangan (skafoid). Dia telah mengalami keretakan pada tulang berkenaan beberapa minggu sebelum bermulanya perlumbaan Dakar ini.

Penunggang bagi pasukan pengilang Red Bull KTM itu pada awalnya hanya ingin berlumba untuk dua tahap sahaja sebelum menarik diri. Namun, dia memutuskan untuk meneruskan perlumbaan dengan sokongan hebat pasukannya, di samping tuah yang menyebelahinya.

“Apa yang boleh saya katakan adalah ianya terasa seperti ada lima orang yang menghunus pisau di pergelangan tangan saya sekarang,” ujar Price. Dia telah menjalani 10 hari yang amat menjerihkan terlambung-lambung atas gumuk padang pasir.

“Ianya amat tidak selesa, tidak menyeronokkan. Sekarang saya hanya perlu tunggu dan lihat kerosakan yang telah saya lakukan pada pergelangan tangan saya.”

Ini adalah kemenangan perlumbaan Dakar kedua buat Price sejak tahun 2016, dan kemenangan ke-18 berturut-turut buat KTM.

Motosikal KTM Dakar 2019 – Sumber imej: Enduro21

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.