RON 95 akan kekal pada RM2.20

Menurut sebuah laporan yang telah dikeluarkan oleh The Star baru sahaja sebentar tadi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa harga bagi minyak petrol RON 95 akan dihadkan pada kadar tertinggi RM2.20 pada masa terkini.

Pengumuman harga baru mingguan yang sepatutnya diumumkan hari ini dengan menggunakan sistem apungan telahpun ditangguhkan tetapi Lim menyatakan bahawa rakyat negara hanya perlu membayar sebanyak RM2.20 bagi setiap liter walaupun jika harga pasaran dunia melepasi had tersebut.

Sumber imej: Legacy News

Menurut Lim Guan Eng semasa merasmikan projek naik taraf lif perumahan Kastam di Bukit Gelugor semalam, “Orang ramai akan membayar harga yang kurang jika harga petrol turun tetapi apabila ia meningkat, mereka tidak perlu bimbang kerana kenaikan melebihi RM2.20 akan disubsidi oleh kerajaan.”

Sistem harga petrol apungan yang sepatutnya dikuatkuasakan mulai minggu ini telah ditangguhkan diatas bantahan keras dari Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM). Mereka telah menyuarakan ketidakpuashatian terhadap sistem ini kerana potensi kerugian tinggi yang akan ditanggung oleh para pengedar dan bukan pihak kerajaan.

Dengan tiada kebebasan untuk mengawal jumlah pembelian stok petrol di setiap stesen minyak, para pengedar bakal melalui kerugian yang besar jika stok yang banyak dibeli sewaktu harga yang tinggi dan dijual pada harga yang lebih rendah jika harga turun pada minggu-minggu seterusnya.

Sistem ini juga turut menjejas kadar komisyen pengedar yang rendah dan juga waktu operasi dimana stesen petrol yang selama ini beroperasi selama 24 jam akan diturunkan kepada 18 jam untuk menampung segala kerugian jika pihak kerajaan gagal untuk melaksanakan satu pelan yang sesuai bagi semua pihak.

Bagi harga RON 97 dan juga diesel, Menteri Kewangan telah mengesahkan harga runcit tidak akan berubah buat masa terdekat sehingga harga baharu produk petroleum diumumkan selepas mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung pada hari ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply