MotoGP Thailand Merangkul Gelaran Terbaik Bagi Musim 2018

  • Pusingan MotoGP Thailand yang diadakan julung kalinya pada tahun ini telah dipilih sebagai pusingan terbaik bagi musim 2018.
  • Lebih daripada 220,000 orang penonton telah menghadiri pusingan tersebut dalam tempoh tiga hari.
  • Undian telah dibuat oleh Suruhanjaya Grand Prix.

Pusingan MotoGP Thailand telah dipilih sebagai pusingan terbaik bagi musim 2018. Ianya pusingan MotoGP yang pertama buat negara berkenaan.

Mengikut jumlah keseluruhannya, lebih daripada 220,000 orang penonton telah membanjiri Litar Antarabangsa Chang di Buriram dalam tempoh tiga hari pusingan berkenaan. Ianya jumlah hadirin terbesar di sepanjang musim ini. Apa yang menjadikannya lebih menakjubkan adalah hakikat yang bandar kecil Buriram ini agak terpencil. Ia terletak lebih kurang 379km di sebelah timur Bangkok dan mengambil masa 5 jam untuk sampai melalui jalan raya.

Perlumbaan MotoGP tersebut telah dimenangi oleh Marc Marquez selepas pertarungan yang mengujakan sepanjang perlumbaan dengan Andrea Dovizioso. Maverick Viñales dan Valentino Rossi menamatkan perlumbaan di tempat ke-tiga dan ke-empat di atas jentera Yamaha yang semakin ampuh.

Suruhanjaya Grand Pri telah menyampaikan penghargaan mereka melalui MotoGP.com. Suruhanjaya ini terdiri daripada FIM, IRTA (International Road Racing Teams Association), Dorna, dan MSMA (Motorcycle Sports Manufacturers’ Association).

Kenyataan IRTA

Bercakap dengan MotoGP.com, Herve Poncharal, presiden IRTA, berkata, “Keseluruhan paddock MotoGP cukup berminat untuk mengetahui bagaimana perjalanan GP Thai yang baharu ini, kami tidak sabar menanti ketibaannya dan menaruh harapan yang tinggi. Kesudahannya kami yakin bahawa ianya pusingan MotosGP terbaik musim ini atas sebab pelbagai aspek yang berlainan – kami jangkakan sesuatu yang bagus, namun kami tidak mengetahui sejauh mana yang ia boleh capai.”

“Segalanya berjalan dengan lancar, komitmen pihak penganjur cukup mengagumkan, dan mereka tangani segala masalah dengan segera, mencari penyelesaian sepantas mungkin. Hadirin, orang ramai… setiap seorang yang terlibat cukup gembira dan tidak lekang senyuman.”

“Sokongan peminat cukup menakjubkan, akses ke litar cukup pantas dan mereka menunjukkan bahawa mereka memahami MotoGP – membina sebuah kawasan komersial berdekatan dengan paddock, memberikan pendedahan yang baik kepada perniagaan, pelabur, penaja, pasukan, dan penunggang kami.”

“Ianya cukup penting yang sebuah acara baharu di kawasan ini – satu rantau yang penting untuk MotoGP – mengecapi keputusan sebegini. Ianya contoh terbaik buat negara-negara lain dan layak menerima penghormatan ini. Pada pandangan saya, ianya pasti sukar bagi mereka untuk mengatasi tanda aras yang telah mereka tetapkan ini!”

Kenyataan Dorna

Carmelo Ezpeleta, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, menyifatkan Dorna sebagai “cetakan biru sempurna untuk acara masa hadapan dan kami berasa teruja untuk kembali ke Buriram.

Kenyataan Presiden Litar Antarabangsa Chang

Newin Chidchob, Presiden Litar Antarabangsa Chang, berkata, “Bagi pihak rakyat Thailand dan warga Buriram, kami berasa amat berbesar hati menerima penghargaan Pusingan MotoGP Terbaik tahun 2018.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk Buriram, kerana menunjukkan kebolehan rakyat Thai kepada dunia… Semua orang telah bekerjasama bagi menjadikan pengalaman sukan hiburan ini buat ke semua pengunjung dari seluruh dunia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.”

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.