Alvaro Bautista Dan Perbezaan Antara Jentera Pengilang Dan Satelit

  • Alvaro Bautista berjaya mendapat tempat ke-empat sewaktu pusingan GP Australia pada hujung minggu yang lalu.
  • Keputusan perlumbaan ini menunjukkan adanya jurang yang besar di antara jentera perlumbaan pasukan pengilang dan pasukan satelit.
  • Dorna perlu menghentikan sistem ‘bertingkat’ bagi membolehkan ke semua pelumba berbakat bersaing secara adil.

Alvaro Bautista mungkin tidak menyangka akan keputusan yang diperolehinya di Australia sewaktu dia menggantikan Jorge Lorenzo yang telah tercedera.

Jentera Desmosedici GP18 telah menyebabkan Jorge Lorenzo terpelanting dalam tiga insiden yang terakhirnya. Insiden terakhir sekali di Australia telah menyebabkan kecederaan pada lengan kirinya. Daripada membiarkan hanya Andrea Dovizioso sahaja yang menunggang dalam perlumbaan ini, pasukan pengilang Ducati telah membawa masuk Bautista dari pasukan satelit Ducati, Angel Nieto Team.

Ianya bukannya mudah bagi penunggang kelahiran Sepanyol itu pada awalnya, terbabas sebanyak tiga kali sepanjang hujung minggu itu. Namun, dia telah menemui rentaknya dalam perlumbaan berkenaan dan telah memberi cabaran buat kedua-dua Andrea Iannone dan teman sepasukannya, Andrea Dovizioso bagi merebut tempat atas podium.

Dia terpaksa berhenti mencabar untuk tempat di atas podium hanya setelah, “Saya menghadapi masalah dengan kotak gearnya. Ianya berbeza dengan apa yang saya biasa guna. Saya tidak dapat menggunakan gear dengan betul dan ketinggalan jauh dari kedua-dua Andrea.”

Di sinilah di mana ianya mula menjadi lebih menarik.

Bercakap mengenai perpindahannya ke pasukan pengilang Ducati World Superbike pada tahun hadapan, ” Saya berasa amat yakin untuk tahun hadapan. Saya ingin berlumba dan pada masa yang sama saya mahukan kemenangan. Jika anda tidak mempunyai jentera yang berdaya saing anda tidak boleh menang.”

Mengenai perbezaan antara jentera pengilang dan satelit, “Sudah pasti motosikalnya berbeza. Bagi saya, saya amat kagum dengan enjin, perwatakan enjin tersebut, dan kuasa enjin tersebut. Ianya cukup menakjubkan betapa berbezanya jentera ini berbanding jentera tahun lalu yang saya gunakan. Perbezaannya begitu ketara.”

Keputusan di GP Australia ini adalah keputusan terbaik bekas juara dunia 125cc dalam MotoGP sejak bulan April lalu.

Temuramah bersama Bautista itu mengesahkan adanya tahap yang berbeza dalam MotoGP.

Berbanding jentera pengilang yang dikemudi oleh para penunggang seperti Dovizioso, Lorenzo, Marquez, Pedrosa, Rossi dan Viñales, jentera yang digunakan oleh pasukan satelit adalah jentera ‘pelanggan’. Pasukan perlumbaan – ‘pelanggan’ -menyewa jentera dari para pengilang. Motosikal-motosikal ini selalunya adalah jentera berspesifikasikan tahun lepas. Dan tidak cukup dengan itu, ianya kerap kali tidak 100% mirip dengan jentera pengilang.

Dan oleh kerana itu, persaingan bagi kejohanan selalunya di antara para penunggang pasukan pengilang, di mana para penunggang yang lain hanyalah sebagai pemenuh tempat atas grid.

Ianya satu perkara yang tidak menguntungkan, kerana kebanyakan bakat baharu yang berkebolehan mendapati diri mereka dikekang kebolehan mereka dengan jentera yang tidak berdaya saing. Sewaktu perkara ini berlaku, perhatian, dan yang lebih utama lagi, waktu penyiaran diberikan kepada penunggang pengilang. Berapa kali sahaja dapat kita lihat aksi Hafizh Syahrin pada musim ini?

MotoGP Thailand 2018: Hafizh Syahrin Mengutip Mata Di Thailand

Perbezaan di antara pasukan pengilang dan pasukan satelit ini dahulunya amat kecil pada tahun 70-an dan 80-an, namun, ianya semakin membesar semenjak itu. Jurang itu dirapatkan semula sedikit sejak beberapa musim yang lalu dengan pengenalan ECU spesifikasi standard dan tayar Michelin pada tahun 2016. Kita telah menyaksikan Johann Zarco dan Danilo Petrucci berkali-kali bersaing merebut tempat pertama pada tahun lalu, namun persaingan utama masih lagi di antara pasukan pengilang Honda, Ducati, Yamaha (dan tidak ketinggalan Suzuki) pada tahun ini.

Atas sebab inilah Herve Poncharal memutuskan untuk memindahkan pasukan Tech 3 menyertai KTM pada tahun hadapan. Dibekalkan dengan jentera yang kurang berdaya saing sejak beberapa musim yang lalu telah membuatkannya teridam-idamkan keputusan yang lebih memberangsangkan. Namun ianya tidak kesampaian kerana Yamaha tidak akan membekalkan pasukannya dengan jentera YZR-M1 yang terkini.

Tech3 Akan Berpisah Dengan Yamaha Pada Tahun 2019

Jadi, sebelum anda mula membuat tohmahan melulu seperti “Mat Salleh sokong Mat Salleh je dan sekat Hafizh Syahrin sebab dia Melayu,” (ya, ada yang pos kenyataan ini dalam Facebook), ingat, keputusan yang diperoleh Bautista di Phillip Island.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]