SIC Anjurkan “Sesi Teh Tarik” Bersama Para Penunggang MotoGP!

  • Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah menganjurkan satu “Sesi Teh Tarik” yang amat istimewa bersama dengan beberapa orang penunggang MotoGP.
  • Acara ini telah diadakan di NZ Curry House dengan kemunculan istimewa oleh Ayumu Sasaki, Adam Norrodin, Niki Tulli, Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin, dan Danilo Petrucci.
  • SIC juga turut memperkenalkan trofi rasmi yang akan dipersembahkan kepada para pemenang pada hari Ahad nanti.

Minggu MotoGP telah tiba di Malaysia dan sewaktu kita menantikan tibanya pusingan kejohanan Shell Malaysia MotoGP 2018, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah menganjurkan satu “Sesi Teh Tarik” yang amat istimewa bersama dengan para penunggang MotoGP negara dengan penampilan istimewa oleh penunggang pasukan Alma Pramac Racing (dan bakal penunggang pasukan pengilang Ducati), Danilo Petrucci.

Menyertai acara yang cukup istimewa ini adalah para penunggang daripada pasukan Petronas Sprinta Racing, iaitu Ayumu Sasaki dan Adam Norrodin dari Moto3, Niki Tuuli dan Khairul Idham Pawi dari Moto2, dan tidak ketinggalan, penunggang bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3 MotoGP, Hafizh Syahrin. Dianjurkan di NZ Curry House berhampiran KLCC, para penunggang berkenaan tiba dengan penuh bergaya bersama dengan jentera perlumbaan mereka sedia untuk menggegarkan Sepang bermula hari Jumaat ini.

Bagi memeriahkan lagi acara yang bersejarah ini, SIC telah memperkenalkan trofi pemenang bagi pusingan MotoGP Malaysia sewaktu acara ini, yang mana ianya akan dipersembahkan kepada para pemenang perlumbaan pada hari Ahad ini. Sejurus selepas acara ini, sesi bertemu peminat telah diadakan di pentas sebelahnya di mana para penunggang memenuhi permintaan para peminat dengan menandatangani autograf, bergambar, dan beramah mesra dengan sahabat handai dalam kemeriahan acara ini.

Jentera yang digunakan oleh para penunggang dalam ketiga-tiga kelas perlumbaan juga turut diperagakan sewaktu acara ini yang mana antaranya adalah motosikal Yamaha YZR-M1 yang digunakan oleh Hafizh Syahrin dalam kelas premier. Hafizh Syahrin kini sedang dalam persaingan bagi merebut gelaran “MotoGP Rookie of the Year 2018”. Satu-satunya pencabarnya adalah penunggang kelahiran Itali dari pasukan Marc VDS, Franco Morbidelli.

Tiket untuk pusingan MotoGP Malaysia masih boleh didapati dalam stok yang terhad jadi sekiranya anda ingin menunjukkan sokongan dan semangat untuk penunggang para penunggang negara, dapatkan tiket anda sekarang! Bagi mendapatkan sebarang maklumat lanjut, layarilah www.sepangcircuit.com.

MotoGP 2018: Bagaimanakah Prestasi Hafizh Syahrin Setakat Ini?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.