Tunggang Uji Kawasaki Ninja 250 2018 – Kecil-Kecil Cili Padi

  • Motosikal Kawasaki Ninja 250 2018 adalah sebuah model serba baharu.
  • Enjin baharunya menghasilkan sehingga 38.2hp – enjin motosikal jalan raya empat lejang, 250cc paling berkuasa.
  • Ianya telah ditetapkan pada harga RM23,071 (harga asas).

Menunggang uji motosikal Kawasaki Ninja 250 2018 ini mengingatkan penulis akan tomyam kegemaran penulis.

Bagaimana pun, perkara pertama yang perlu saya lakukan sebaik sahaja hidangan ini di depan mata adalah mengenal pasti di mana letaknya cili padi dan asingkannya. Namun, sering kali akan ada tertinggal cebisan kecil yang mana telah memasuki mulut saya. Pedasnya lain macam! Macam manalah benda sekecil ini boleh menyebabkan ‘keterujaan’ sebegini?

Kawasaki Motors Malaysia Sdn. Bhd. (KMSB) telah melancarkan model Ninja 250 2018 di acara Art of Speed 2018 pada bulan Julai yang lalu dan semenjak itu, ia telah mencetuskan keterujaan ramai.

Kawasaki Ninja 250 2018 Dilancarkan Secara Rasmi di AOS 2018 – RM23,000

Lebih kerap menggunakan motosikal yang lebih besar, penulis dapati diri tertanya-tanya, “Cantik motosikal ini, tetapi, berapa lajukah yang ia boleh pergi?” Kita akan kembali kepada persoalan ini pada masa yang akan datang.

Saya sering kali menggelar segmen 250cc ini sebagai kategori “Game of Thrones”. Sebagai motosikal berkapasiti lebih tinggi yang paling mampu milik selepas motosikal di bawah 200cc, para pengeluar berhempas pulas untuk menakluki segmen ini. Dan ya, Kawasaki juga tidak terkecuali, dan oleh kerana itulah mereka telah memperkenalkan motosikal Ninja 250 2018 yang serba baharu ini.

Pertama sekali, reka bentuknya. Kawasaki menggayakan motosikal mereka bagi mencerminkan identiti keluarga. Dan oleh itu, rupa paras motosikal baharu ini saling tidak tumpah seperti model ZX-6R atau pun, waktu sekilas pandang, ZX-10R.

Bahagian hadapannya sahaja telah dipenuhi dengan pelbagai bucu yang tajam, terutamanya pada ‘chin spoiler’ di bawah lampu hadapan, memberi gambaran lebih banyak ‘downforce’ pada kelajuan tinggi. Reraupnya mendepang keluar di bahagian lekuk lutut, menjadikan motosikal ini tampak seperti sebuah motosikal berkapasiti lebih besar.

Enjin ‘parallel-Twin’, lapan injap, DOHC, sejukan cecair, 249cc-nya itu adalah sebuah enjin serba baharu dan telah ditala bagi menghasilkan 38.2hp pada tahap 12,500rpm dan 23.5Nm pada 10,000rpm. Jelas sekali enjin model ini bukan calang-calangnya. Kelengkapan klac bantu-dan-gelincir juga turut dikekalkan.

Perubahan yang lain termasuklah:

  • Pelitup kipas radiator yang dirombak semula bagi menempias angin panas menjauhi penunggang.
  • Ergonomik yang dipertingkatkan.
  • Cakera brek terapung 310mm yang diapit oleh angkup dua omboh.
  • Fork teleskopik 41mm.
  • Tangki bahanapi 14 liter.
  • Berat basah 164kg.

Posisi duduknya juga ternyata sporty. Palang pemegang ‘clip-on’ mungkin tampak tinggi namun ia terasa lebih rendah sewaktu anda duduk di atas motosikal tersebut; ini kerana tangkinya yang kompak yang mebuatkan anda duduk betul-betul di hadapan. Atur cara sebegini amat baik untuk pemusatan jisim. Palang pemegang ‘clip-on’nya juga telah disudutkan ke bawah untuk posisi menunggang yang lebih selesa pada kelajuan tinggi.

Enjin baharu ini juga lebih senyap sewaktu melahu. Tiada lagi bunyi berdetik yang kuat dari ‘valvetrain’ seperti pendahulunya. Pulasan pendikit membuatkan jarumnya bergerak pantas di ‘rev counter’.

Masuk gear pertama, pulas sedikit pendikitnya, lepaskan klac dan…..enjinnya mati. Nasib baik tiada sesiapa di sekeliling pada ketika itu. Anda perlu mainkan klacnya dengan lebih sedikit untuk menggerakkannya.

Pemecutannya jauh lebih lancar dari apa yang saya jangkakan. Tetapi enjinnya terasa agak jinak di bawah 5,000rpm. Pulas lagi pendikit, Jarum ‘rev counter’ bergerak tinggi, tinggi lagi, dan lagi, sehinggalah ia mencecah 8,000rpm, motosikal ini meluru laju. Nota bunyi ekzos bertukar menjadi rauman, ditemani dengan dengusan dari lohong udara di bawah tangki.

Pernah sekali, saya pecut motosikal Ninja 250 ini bagi mengajar seorang penunggang MT-07, satu pelajaran yang tidak akan dia mudah lupakan. Menggenggam erat pendikit, ‘Si Cili Padi’ ini memecut laju, agak laju bagi sebuah motosikal 250, sehinggalah kami mencecah 179km/j dengan baki 1,000rpm sebelum mencecah ‘redline’. Encik MT tidak berani mendekati kami semula selepas itu.

Saya ceritakan pengalaman ini kepada para teman wartawan dan seorang wartawan yang lebih kecil dan ringan dari saya menceritakan bahawa dia telah mencecah sehingga 192km/j!

Amat jarang sekali didengari bagi sebuah motosikal 250cc empat lejang jalan raya yang standard.

Namun, kelajuan itu tidak membawa makna sekiranya motosikal ini tidak mampu menanganinya.

Pemanduan arahnya cukup mudah sekali, dan anda boleh tukar arah dari sisi ke sisi walaupun ketika memecut sewaktu memulas penuh pendikit. Pada masa yang sama, ianya begitu stabil, bagaikan sebuah motosikal besar dengan jarak roda yang besar dalam garisan lurus.

Suspensinya telah ditala dengan baik sekali untuk menangani selekoh. Satu tip untuk anda: Untuk memaksimakan kelajuan selekoh model Ninja 250 ini, brek awal, diikuti dengan melepaskan brek dengan awal.

Klac gelincirnya ditala dengan baik sekali bagi memberikan sejumlah pembrekan enjin, tetapi, pada masa yang sama, masih membolehkan enjin untuk ‘freewheel’ memasuki selekoh. Ya, macam sebuah motosikal dua lejang. Menyeronokkan!

Menunggang motosikal ringan seperti Ninja 250 ini dalam lalulintas terasa amat mudah sekali kerana ia dapat mengubah laluan dengan pantas. Breknya juga cukup kuat. Satu lagi perkara yang amat saya hargai adalah ketiadaan bahang udara panas dari enjin yang membakar celah kangkang penunggang.

Jadi, kembali kepada persoalan kita pada permulaan artikel tadi, “Cantik motosikal ini, tetapi, berapa lajukah yang ia boleh pergi?” Motosikal Kawasaki Ninja 250 2018 ini lebih dari sekadar kelajuan tertingginya. Sebaliknya, Kawasaki telah berjaya dalam usaha mereka mencipta semula motosikal 250, di mana mereka telah mengambil pengendalian yang menakjubkan dan kelajuan, kemudiannya menggabungkan kedua-dua elemen ini dengan jitu, dan mempersembahkannya dalam satu reka bentuk yang menawan.

Dan ya, benda kecil boleh menyebabkan keterujaan yang hebat, seperti “Si Cili Padi” ini.

KAWASAKI NINJA 250 2018

ENGINE
ENGINE TYPE 4-stroke, DOHC, 8-valve, liquid-cooled, parallel-Twin
DISPLACEMENT 249 cc
BORE x STROKE 62.0 mm x 41.2 mm
POWER 38.2 bhp (39 PS) @ 12,500 RPM
TORQUE 23.5 Nm @ 10,000 RPM
COMPRESSION RATIO 11.6:1
TRANSMISSION 6-speed
FUEL SYSTEM Electronic fuel injection with dual ø 32mm throttle bodies
CLUTCH Multiple-plate wet clutch, cable-operated
CHASSIS
FRAME High tensile steel trellis
FRONT SUSPENSION ø 41 mm telescopic forks
REAR SUSPENSION Bottom link Uni-Trak, gas-charged monoshock, adjustable spring preload
FRONT BRAKE 1 X Two-piston caliper, ø 310 mm disc
REAR BRAKE 1 X Single-piston caliper, ø 220 mm brake disc
TYRE FRONT; REAR 110/70-17; 140/70-17
STEERING HEAD ANGLE 24.3o
TRAIL N/A
WHEEL BASE 1,370 mm
SEAT HEIGHT 795 mm
FUEL TANK CAPACITY 14 litres
KERB WEIGHT 164 kg
Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply