Mini Cub Prix KBS Dilancarkan Bagi Menyokong Pembangunan Sukan Perlumbaan Motosikal Di Peringkat Akar Umbi

  • Kejohanan Cub Prix Malaysia dengan secara rasminya telah melancarkan siri perlumbaan Mini Cub Prix KBS.
  • Siri perlumbaan motosikal ‘pocket bike’ satu model ini adalah dengan kerjasama serta sokongan dari Kementerian Belia dan Sukan.
  • Ianya bertujuan untuk membangunkan tahap perlumbaan motosikal di peringkat akar umbi dengan bakat muda berusia 6-12 tahun.

Kejohanan Cub Prix Malaysia, dengan kerjasama dan sokongan padu oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia, dengan secara rasminya telah melancarkan Mini Cub Prix KBS, satu siri perlumbaan motosikal ‘pocket bike’ satu model yang bertujuan untuk mencungkil bakat muda dari usia 6 hingga 12 tahun.

Lima pusingan bagi musim sulungnya akan diadakan, dalam empat buah kategori yang berbeza, iaitu:

  • Kidz – 6 hingga 9 tahun.
  • Cadet – 10 hingga 11 tahun.
  • Open – 6 hingga 12 tahun.
  • Junior – 12 tahun.

14 orang penunggang muda telah pun dipilih untuk menyertai musim sulung Mini Cub Prix KBS dalam kategori Junior, di mana mereka akan bertanding di atas jentera ‘pocket bike’ 74Daijiro 50cc dari Jepun. Bagi menggalakkan lagi penyertaan penunggang dan mencambahkan pertumbuhan kancah sukan permotoran di Malaysia, 4 orang penunggang teratas akan dihadiahkan dengan tajaan penuh untuk menyertai kategori satu model Honda dan Yamaha pada tahun 2019, yang kini sedang berjalan dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia.

Para penunggang lain yang berada di kedudukan 10 teratas juga akan diberikan slot serta tajaan bagi memastikan yang semangat membara mereka terhadap sukan permotoran ini tidak malap setelah berakhirnya musim pertama Mini Cub Prix KBS ini.

Menurut Pengarah Safe Aim Mutual Sdn. Bhd. Encik Ron Hogg, “Kejohanan Cub Prix Malaysia dan Asia Road Racing Championship telah dianggap sangat berjaya dari segi memberikan manfaat kepada industri perlumbaan motosikal secara amnya. Dengan menyediakan dua buah platform professional, di mana penunggang Malaysia boleh membangunkan kerjaya perlumbaan mereka, kami telah membantu dalam mencipta sebuah industri perlumbaan motosikal yang berkembang pesat dan mengujakan di Malaysia. Dengan pelancaran Mini Cub Prix KBS ini, kami telah menambah satu lagi platform dalam ekosistem ini, dan dengan itu, memperhaluskan dan menyeragamkan proses pencungkilan bakat.”

Hadir bagi merasmikan pelancaran rasm ini ialah Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menyatakan, “Kementerian Belia dan Sukan memberi sokongan penuh pada pembangunan sukan permotoran negara. Anda boleh lihat komitmen sokongan KBS ini di setiap aras sukan – bermula dari akar umbi sehinggalah ke tahap MotoGP.”

“Dari segi polisi am, Kementerian ingin melihat lebih ramai warga belia memanfaatkan pelbagai program sukan permotoran yang sedang dilaksanakan. berbanding hanya segolongan kecil yang elit. Dengan erti kata lain, kami berharap untuk dapat memberikan peluang kepada lebih ramai warga muda Malaysia untuk merealisasikan cita-cita mereka untuk menjadi golongan professional dalam sukan permotoran.”

Menteri di Kementerian Belia dan Sukan itu juga ingin menggesa orang ramai untuk menawarkan pandangan tentang bagaimana KBS boleh bertindak lebih proaktif dalam industri ini. Salah satu cadangan utama yang diutarakan oleh YB Syed Saddiq awal hari ini adalah untuk mewujudkan perwakilan dari pihak akar umbi dalam sidang ahli Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pada pandangan pelbagai pihak, ini dilihat sebagai satu langkah yang bernas bagi memastikan pembangunan teratur dalam industri perlumbaan motosikal di Malaysia, di mana kita jelas sekali mempunyai begitu ramai bakat-bakat muda yang mempunyai dorongan yang tinggi namun tiada saluran yang betul untuk berkembang dan membangun.

Kalendar Mini Cub Prix KBS 2018 akan bermula pada hujung minggu ini (16 September 2018) di MAEPS, Selangor, diikuti oleh empat lagi pusingan di bawah.

  • PUSINGAN 2 – Kuala Terengganu, Terengganu (5-6 Oktober 2018).
  • PUSINGAN 3 – Batu Kawan, Pulau Pinang (27-28 Oktober 2018).
  • PUSINGAN 4 – Jempol, Negeri Sembilan (17-18 November 2018).
  • PUSINGAN 5 – Bandar Penawat, Johor (15-16 Disember 2018).

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari www.malaysiancubprix.com.

MotoGP: Petronas SIC Sahkan Barisan Penunggang Bagi Musim 2019!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply