Moto3 GP San Marino 2018: Lorenzo Dalla Porta Menangi Perlumbaan San Marino Yang Penuh Dengan Drama

Lorenzo Dalla Porta – Sumber imej: www.oasport.it
  • Perlumbaan Moto3 GP San Marino merupakan sebuah perlumbaan yang penuh dengan drama.
  • Lorenzo Dalla Porta telah berjaya memenangi perlumbaan tersebut setelah pertarungan lima penjuru yang mendebarkan.
  • Marco Bezzechi terbabas dan mengembalikan semula takhta pendahulu kejohanan ke tangan Jorge Martin.

Perlumbaan Moto3 sering kali menjadi tumpuan kerana pertarungannya yang cukup mengujakan dan bagi GP San Marino ini tiada bezanya, di mana ianya telah menyaksikan Lorenzo Dalla Porta (Leopard Racing) memenangi perlumbaan pertamanya dalam kategori tersebut.

Drama kali ini bermula apabila lima orang penunggang telah bertembung di penghujung pusingan pertama, di mana mereka yang terlibat adalah Nicolò Bulega, Aron Canet, Ayumu Sasaki, Jaume Masia, dan Enea Bastianini. Canet dan Sasaki telah dihantar ke pusat rawatan bergerak untuk pemeriksaan lanjut. Mujur sekali, ke semua penunggang tidak mengalami kecederaan yang serius.

Kemalangan besar itu telah membolehkan lima penunggang terpantas yang terdiri daripada pesaing utama kejohanan iaitu Marco Bezzechi dan Jorge Martin, beserta dengan Lorenzo Dalla Porta, Fabio Di Giannantonio dan Gabriel Rodrigo untuk menjarakkan diri mereka dari kelompok pengejar.

Mereka berlima bertarung secara terus menerus sepanjang perlumbaan tersebut dengan pendahulu perlumbaan bersilih ganti ditukarkan, yang mana ianya menjadi semakin rancak dengan setiap pusingan. Ke semua penunggang telah terlibat dalam cubaan memintas satu sama lain yang agresif; pada masa yang sama, Bezzechi dan Martin cuba mengakali satu sama lain bagi memastikan takhta kejohanan kekal dalam tangan masing-masing.

Namun, segalanya berubah sewaktu tayar belakang Bezzechi mulai haus dan jenteranya hampir menyebabkannya terpelanting (high side) ke perangkap kerikil dengan baki dua selekoh terakhir di pusingan kedua terakhir. Ini merupakan kemalangan ketiga penunggang dari Itali tersebut semasa dia mendahului perlumbaan pada pusingan akhir dalam musim ini, di mana yang lainnya telah berlaku sewaktu perlumbaan di litar Le Mans, Perancis, dan litar Assen di Belanda. Kemalangannya itu secara efektifnya telah menghadiahkan semula tampuk pendahulu kejohanan ke tanan Jorge Martin.

Tetapi, dramanya masih belum berakhir lagi. Fabio Di Giannantonio telah tersasar satu selekoh dengan baki dua pusingan lagi, menyebabkannya berada di bahagian paling belakang kelompok pendahulu ini. Dia kemudiannya menunggang dengan sepenuh hati bagi mengejar semula kelompok tersebut. Sewaktu Dalla Porta mendahului perlumbaan di pusingan terakhir pada selekoh yang paling akhir, Di Giannantonio meluru masuk ke bahagian dalamnya. Namun begitu, Dalla Porta kelihatan seperti tetap memulas pendikitnya melalui selekoh tersebut. Sewaktu ini terjadi, Martin menyelinap di sebelah kiri kedua-dua penunggang. Ianya adalah pecutan bertiga menuju garisan penamat!

Ketiga-tiga penunggang menanti dengan sabar keputusan rasminya. Apabila ianya diumumkan, ternyata Dalla Porta berjaya melintasi garisan penamat dahulu, dengan beza masa hanya sekadar 0.058s di hadapan Martin. Di Giannantonio terpaksa berpuas hati di tempat ke-tiga.

Penunggang negara, Adam Norrodin menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

Jorge Martin kini mendahului kejohanan dengan 166 mata, dengan Marco Bezzechi mengutip 158 mata dan Fabio Di Giannantonio di tempat ketiga dengan 138 mata.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]