Jorge Lorenzo Peroleh Petak Pertama Di MotoGP San Marino 2018

Sumber imej: MotoGP
  • Penunggang bagi pasukan Ducati, Jorge Lorenzo, berjaya memecahkan rekod catatan masanya di litar tersebut bagi merangkul Petak Pertama bagi pusingan MotoGP San Marino 2018.
  • Pendahulu kejohanan, Marc Marquez telah terbabas pada awal sesi dan telah mengakhiri sesi kelayakan di posisi ke-lima.
  • Jack Miller berjaya menunggang dengan hebat sewaktu sesi berkenaan dan berjaya menduduki petak ke-dua, diikuti oleh Maverick Viñales di tempat ke-tiga.

Kejohanan MotoGP 2018 kini telah berada di San Marino setelah pembatalan GP British beberapa minggu yang lalu.

MotoGP: Lapisan Asfalt Baharu Serta Sistem Saliran Di Litar Silverstone Menjadi Punca Pembatalan GP British 2018

Kerana kehilangan peluang untuk memperolehi mata pada pusingan yang lalu, ke semua penunggang sudah pasti ingin mempamerkan prestasi yang terbaik pada pusingan ini bagi menambah lagi kutipan mata mereka, lebih-lebih lagi para penunggang yang berada di tangga-tangga teratas dalam kejohanan seperti Marc Marquez, Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, Andrea Dovizioso, dan lain-lain. Marquez sedang mendahului kejohanan dengan perbezaan sebanyak 49 mata di hadapan Rossi sewaktu mereka memasuki pusingan ke-13 ini.

Para penunggang Ducati, Dovizioso dan Lorenzo telah mendahului lapangan sehinggalah FP3 semalam, namun, Maverick Viñales berjaya mencatat masa terpantas sewaktu FP4, mendahului Lorenzo, Dovizioso, dan Marquez. FP4 adalah sesi latihan yang tidak direkodkan catatan masa, dan dengan itu, di sinilah waktunya para pasukan dan penunggang akan cuba mencari atur cara perlumbaan paling optimal.

Marquez merupakan penunggang pertama yang merekodkan masa 1:32 yang rendah, namun begitu, Lorenzo telah berjaya mengatasi catatan masa tersebut sewaktu cubaan pertamanya dengan catatan masa 1:31.763s. Ianya merupakan rekod catatan masa terpantas di litar Misano World Circuit Simoncelli.

Marquez kemudiannya menunggang sepantas yang dia mampu dalam usaha mendapatkan semula Petak Pertama namun telah terbabas. Dia kemudiannya menaiki skuter marsyal dan berlari ke pitnya bagi mendapatkan motosikal gantiannya dengan baki masa hanya selama 4 minit sebelum tamatnya sesi Q2.

Dua tempat yang berikutnya di barisan hadapan menjadi buruan di antara Dovizioso, Jack Miller, Rossi, dan Viñales.

Dalam pada itu, Lorenzo telah berjaya memperbaiki catatan masanya dan mengukuhkan genggamannya di Petak Pertama dengan catatan masa 1:31.629s, memecahkan rekod catatan masa yang baharu dia catatkan sebelum ini.

Jack Miller kemudiannya berjaya mendapat tempat ke-dua di atas grid dengan tunggangan yang menakjubkan, manakala Viñales pula berjaya mengubah nasibnya, dari P8 ke P3, merampas tempat tersebut dari Dovizioso.

Marquez jatuh ke tempat ke-lima, dan Cal Crutchlow telah mengalami satu kemalangan dalam saat-saat akhir sesi tetapi berjaya menduduki tempat keenam, manakala Rossi pula akan memulakan perlumbaan esok di tempat ketujuh. Penunggang negara, Hafizh Syahrin menamatkan sesi kelayakan di tempat ke-25 setelah bergelut di sepanjang hujung minggu ini.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]