Rahsia Enjin Moto2 765 Triumph Didedahkan

  • Lebih banyak rahsia enjin tiga selari Moto2 765cc Triumph telah terbongkar.
  • Enjin jentera perlumbaan tersebut secara amnya adalah enjin standard.
  • Enjin baharu akan menjana jentera Moto2 bermula tahun 2019.

Jika anda seorang peminat MotoGP, sudah pasti anda telah sedia maklum bahawa Triumph akan membekalkan enjin bagi kategori Moto2 pada tahun hadapan. Enjin yang akan digunakan adalah enjin tiga selari 765 yang berdasarkan enjin yang menjana motosikal Street Triple 765 yang baharu.

Sebelum kami teruskan, kami ingin nyatakan yang motosikal Street Triple 765 (terutamanya varian RS) adalah motosikal paling menyeronokkan pernah kami uji, dan ianya kerana enjinnya yang baharu itu.

Itu sahaja yang mahu kami nyatakan.

Triumph telah mempersembahkan enjin ketiga yang telah disiapkan sewaktu GP British beberapa minggu yang lalu. Dirumahkan dalam sebuah casis Daytona yang diubahsuai, motosikal tersebut telah melakukan pusingan perarakan, manakala warga media British telah diberikan peluang untuk menunggang jentera tersebut.

Ke semua wartawan telah melaporkan jumlah kuasa yang besar dari segi pemecutan dan fleksibiliti (ketersediaan kuasa di mana-mana sahaja dalam julat ‘rev’).

Namun apakah yang membuatkan enjin ini berfungsi? Sudah tentu anda tertanya-tanya.

Bercakap dengan MCN, Ketua Pegawai Produk Triumph, Steve Sargent, telah berkata, “Kami perlukan lebih banyak kuasa dan tork dan ianya dilakukan dengan meningkatkan ‘rev’ dan mengurangkan inertia. Sebuah motosikal 765 standard menghasilkan 123hp (dalam Street Triple RS) dan kami menganjakkanya ke 135hp dan kira-kira 80Nm.”

Penulis sudah boleh baca fikiran pembaca. “Tunggu, 135hp sahaja?”. Dingatkan yang kategori Moto2 ini telah menggantikan motosikal dua lejang 250cc yang menghasilkan sekitar 80 hingga 90hp.

“Kebanyakan kuasanya itu datang dari kepala silindernya. Kami telah mengerjakan ‘port’nya bagi meningkatkan aliran gas dan melengkapkan injap titanium dan pegas injap perlumbaan bagi mengurangkan ‘flutter’ (valve float) sewaktu rpm tinggi.” Sambungnya lagi.

Apakah itu ‘flutter’ atau ‘valve float’? Secara asasnya ianya menggambarkan apa yang terjadi sewaktu injap tidak mengikuti ‘cam lobes’ secaraberkesan sewaktu kelajuan enjin yang tinggi. Ini adalah salah satu sebab mengapa kuasa maksimum enjin itu terhad. Jurutera MotoGP, kecuali Ducati, menanganinya dengan menggunakan pegas injap pneumatik.

“Bagi mengurangkan inertia, kami telah melakukan benda-benda yang mudah seperti menanggalkan motor pemula dan gear pemula. Ia (enjin perlumbaan) juga dilengkapi dengan alternator kit perlumbaan kerana jentera perlumbaan tidak memerlukan kuasa elektrik yang besar, serta klac gelingcir yang boleh laras sepenuhnya yang lebih ringan.”

“Kami juga telah mengubah nisbah kotak gear. Gear pertama dan kedua kini lebih panjang dan dengan itu menyingkatkan lagi nisbah gear yang lain.”

“Satu lagi tempaan baharu adalah bekas engkol tangan kanan dan pelitup klac. Pelitup berlainan untuk klac membolehkan capaian yang lebih mudah ke klac gelingcir yang boleh ditala bagi semua pasukan.”

Selain daripada pengemaskinian yang kecil ini, enjin Moto2 765 ini secara amnya adalah sebuah enjin yang standard! Omboh, aci engkol, palan penyambung, ‘cams’,bekas enjin utama, dan lohong udara, ke semua sama sahaja seperti motosikal standard!

Pengubahsuaian ini mengubah had ‘rev’ dari 12,650rpm ke 14,000rpm untuk kuasa yang lebih besar dan ‘overrev’ di selekoh. Jentera Moto2 2019 juga akan dilengkapi dengan ECU Magneti Marelli yang bercirikan kawalan cengkaman, kali pertama ia muncul dalam kejohanan ini. Selain daripada kawalan cengkaman, ECU tersebut juga membolehkan penggunaan kawalan mulaan dan ‘quickshifter’ dengan ‘autoblipper’.

“Kami menggunakan palang standard, ‘cams’ standard’, omboh standard, dan engkol standard. Ke semua kelengkapan ini sudah cukup baik untuk rpm lebih tinggi yang lebih lama dan ini bermakna yang enjinnya itu mampu dimiliki.”

“Enjinnya akan dibina dan diselenggara oleh ExternPro, yang telah membina ke semua enjin Moto2 Honda sebelum ini. Kami akan hasilkan ke semua bahagian bagi setiap enjin, mereka akan binanya, lakukan ujian ‘dyno’ padanya dan serahkannya kepada setiap pasukan. Setiap (enjin) akan menjalani perlumbaan selama tiga minggu sebelum ianya dibina semula.”

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]