“Sayap Impian” Kawan Awan – Menjulang Tinggi Kerja Amal

  • Acara amal “Sayap Impian” Kawan Awan telah berlangsung semalam, di mana 135 kanak-kanak dari rumah kebajikan dan 4 orang kanak-kanak yang sakit tenat telah menaiki penerbangan pertama mereka mengelilingi Kuala Lumpur.
  • Dianjurkan oleh Nik Huzlan, yang lebih mesra dikenali sebagai Kapten Nik, acara amal yang unik ini bertujuan untuk memberikan satu pengalaman yang serba baharu buat kanak-kanak tersebut.
  • Acara ini telah mendapat sokongan Triumph Motorcycles Malaysia, ahli kumpulan Triumph RatPack, Kenanga Investors, Pasukan Rimba Raid, dan pelbagai badan yang lain.

Menaiki kapal terbang mungkin satu perkara yang biasa buat sebahagian kita yang sering mengembara. Keseluruhan pengalaman sewaktu kapal terbang berlepas adalah sesuatu yang amat menakjubkan, lebih-lebih lagi jika ianya merupakan pengalaman anda yang pertama. Itulah yang telah dilakukan oleh seorang insan semalam buat sekumpulan kanak-kanak dari rumah kebajikan dan yang sakit tenat.

Nik Huzlan, juga lebih mesra dikenali sebagai Kapten Nik (pengelola acara ‘off-road’ yang mencabar dan terkemuka, Rimba Raid) telah mengumpulkan lebih kurang 135 orang kanak-kanak dari empat buah rumah kebajikan berbeza yang terletak di luar Kuala Lumpur untuk satu lawatan istimewa mengelilingi ibu kota Malaysia.

Dua penerbangan yang ditempah dari Malindo Air telah membawa kanak-kanak tersebut dalam satu lawatan hebat bagi menikmati pemandangan istimewa Kuala Lumpur dari 2,500 kaki! Bagi kebanyakan kanak-kanak rumah kebajikan ini, acara amal “Sayap Impian” Kawan Awan ini merupakan satu peluang keemasan menikmati sesuatu yang mengagumkan serta menakjubkan.

Selain daripada anak-anak dari rumah kebajikan itu, empat orang anak istimewa sakit tenat juga telah mendapat peluang istimewa ini untuk meredah lautan awan di mana juruterbang telah membawa mereka semua bersiar-siar di kawasan sekitar pusat bandar Kuala Lumpur, Batu Caves, dan bermacam-macam lagi.

Hari bermula dengan mereka semua berkumpul di Triumph Motorcycles Petaling Jaya, di mana ahli kumpulan Triumph RatPack beserta kanak-kanak menikmati sarapan pagi dan mengambil peluang untuk bergambar dengan motosikal-motosikal Triumph yang menggiurkan di bilik pameran tersebut.

Suasana yang mengujakan dan menyeronokkan dapat dirasai di bilik pameran tersebut dan sejurus selepas selesai menikmati sarapan pagi, kanak-kanak tersebut telah bersedia untuk menuju ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Subang, Selangor. Diiringi oleh petugas Polis DiRaja Malaysia yang sedia membantu, kami tiba dengan pantas dan tidak lama selepas itu kanak-kanak tersebut telah sedia berbaris dan tidak sabar untuk menaiki kapal terbang bebaling turbo dua enjin ATR 72 ihsan Malindo Air.

Penganjuran acara ini sudah semestinya memerlukan kerja dan perancangan yang besar. Sokongan dan sumbangan yang besar telah diterima bagi memastikan yang acara ini berjalan dengan amat lancar. Antara pendokong acara ini adalah Fast Bikes Sdn. Bhd. (Triumph Motorcycles Malaysia), ahli kumpulan Triumph RatPack Malaysia (yang telah menderma, menyokong, serta mengiringi kanak-kanak berkenaan ke lapangan terbang), Kenanga Investors, Pasukan Rimba Raid, dan juga mereka yang lain yang turut menyumbang.

Acara amal “Sayap Impian” Kawan Awan adalah sebuah projek unik bertujuan untuk membawakan keriangan yang berbeza kepada anak-anak istimewa ini dan kami di MotoMalaya ingin mengucapkan tahniah kepada Kapten Nik di atas usaha dan dedikasinya dalam menjayakan acara ini. Tahniah Kapten Nik dan juga yang lain!

Triumph Akan Memperagakan Enjin Moto2 Di GP British Dengan Mengadakan Pusingan Perarakan

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]