Sepuluh Perkara Yang Tidak Patut Dilakukan Seorang Penunggang Motosikal (Bahagian 2)

  • Menunggang itu menyeronokkan, tetapi kita sebagai penunggang motosikal sepatutnya tidak boleh memupuk rasa yang kita sahaja yang betul.
  • Hormati pengguna jalan raya yang lain supaya kita juga dihormati.
  • Ada beberapa perkara kita sebagai penunggang motosikal tidak patut lakukan.

Ini adalah sambungan bagi artikel “Sepuluh Perkara Yang Tidak Patut Dilakukan Seorang Penunggang Motosikal”.

Sepuluh Perkara Yang Tidak Patut Dilakukan Seorang Penunggang Motosikal (Bahagian 1)

Kami di sini sedar bahawa kita semua sebagai orang yang sudah dewasa mampu berfikir baik dan buruknya satu perkara dengan sendiri. Namun, ianya tidak bermakna kita semua tidak boleh menerima sebarang cadangan atau nasihat sekali sekala (termasuklah penulis).

Dan bagi mereka yang tidak dapat mengikut cadangan dan nasihat-nasihat ini, di minta anda berhenti menunggang, kerana perangai sebegitulah mengapa penunggang motosikal dibenci oleh sesetengah pihak. Berhenti menunggang.Berhenti memandu. Naik sahaja pengangkutan awam sebelum anda membahayakan nyawa orang ramai.

Dan dengan itu, mari kita teruskan.

6. Memarkir secara semberono.

Benar, parkir motosikal di sekitar Lembah Klang ini bagaikan direka oleh mereka yang fikir motosikal ini hanya selebar tayarnya dan sepanjang empat langkah sahaja. Dan ya, ada juga pemandu kereta yang kurang bijak yang telah memarkir di kawasan parkir motosikal. Tetapi ini tidak bermakna anda juga boleh memarkir sesuka hati. Janganlah mengamalkan tabiat memarkir di kaki lima, di antara dua buah kereta yang sedang parkir atau di sebelah kereta yang sedang parkir. Ya, saya tahu yang anda risaukan keselamatan motosikal anda. Tetapi, di mana sahaja, bahkan dalam pagar rumah sendiri sekali pun, pernah ada kes angkup brek ke curi, bukan? Jadi, marilah kita cuba bersifat lebih bermoral dan bertimbang rasa. Parkirlah motosikal anda di tempat sepatutnya dan jangan jatuhkan tahap kita setaraf pemandu yang kurang panjang akalnya itu.

7. Tidak mengunci motosikal

Dan apabila kita bercerita tentang mengunci motosikal, kita tidak seharusnya hanya mempercayai kunci stereng motosikal sahaja, atau, lebih teruk lagi, tidak menguncinya langsung, mengandaikan yang motosikal besar tidak akan dicuri. Pencuri selalunya melakukan kerja mereka secara berpasangan; seorang mengemudi motosikal curi dan seorang lagi menundanya.

Jadi, tolong kunci motosikal anda. Beli rantai dan kunci tambahan, serta selak khas untuk angkup Brembo anda.

8. Tidak menggunakan laluan motosikal

Jujur kami katakan, kami cukup benci untuk menggunakan laluan motosikal yang ada dalam negara kita, namun, memandangkannya ianya undang-undang jalan raya negara, kami terpaksa akur. Atau ikut laluan yang lain. Yang salah tetaplah salah, namun, ada cara-cara lain yang boleh digunakan untuk memaklumkan pihak berkuasa tentang keadaan laluan motosikal. Menunggang di tengah-tengah laluan lebuh raya, di kalangan kenderaan lain bukannya satu cara yang berkesan untuk memprotes atas satu sebab; Ianya merbahaya! Menunggang di antara kereta adalah perkara paling berisiko boleh dilakukan penunggang motosikal, tidak kiralah jenis motosikalnya.

Satu-satunya sebab untuk tidak menunggang di laluan motosikal adalah sekiranya laluan tersebut ditutup untuk pembinaan atau tidak dapat dilalui. Jikalau tidak, kita seharusnya menggunakan laluan motosikal.

Motosikal Dibenarkan Atas Lebuhraya Persekutuan Kerana Kerja-Kerja Pembaikan Laluan Motosikal

9. Menyekat lorong paling kanan

Jika kita tidak suka kenderaan lain menyekat lorong yang paling kanan, Sudah pasti pengguna yang lain pun tidak suka jika kita buat benda yang sama, bukan? Kita patut sama ada terus memotong kenderaan lain, atau kekal di laluan sebelah kiri (ingat apa yang kita belajar di sekolah memandu; Ikut kiri jika tidak memotong) bagi membolehkan kenderaan yang lebih laju untuk memotong. Bagi konvoi motosikal, patut ada seorang ‘runner’ yang berada betul-betul di hadapan ‘sweeper’. Dari kedudukannya itu, dia boleh menunggang ke hadapan deretan motosikal, mengarahkan rakan konvoinya untuk ke sebelah kiri atau benarkan kenderaan yang lebih pantas memotong.

10. Mengelamun

Yang ini anda pasti setuju dengan kami. Berapa kali pernah anda lihat seorang penunggang motosikal yang melulu masuk ke tengah-tengah jalan raya, tidak sedar akan keadaan sekelilingnya, seperti dia sedang mengelamun atau dipukau? Mereka kadang-kadang akan memasuki laluan kereta yang ada di belakang tanpa mereka sedari! Hentikannya! Atau suruh dia berhenti jika anda kenal atau jumpa orang macam ini, kerana inilah yang akan menyebabkan mereka dilanggar dari belakang dan menyumbang kepada statistik kadar kemalangan negara. Berikan tumpuan penuh sewaktu menunggang, Tiada cara yang lain untuk selamat!

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]