MotoGP 2018: Johann Zarco Sudah Mendapat Rentaknya Semula?

  • Prestasi Johann Zarco tampak telah merosot sejak kemalangannya di Le Mans.
  • Ada yang membuat spekulasi yang dia telah mula berasa besar kepala.
  • Namun dia telah membidas semula dengan mencatatkan masa kedua terpantas sewaktu sesi latihan pasca GP Czech semalam.

Musim MotoGP 2018 bermula dengan cemerlang bagi Johann Zarco, di mana dia berjaya mendapat dua tempat kedua dari empat perlumbaan dan berada jauh di hadapan pasukan pengilang Movistar Yamaha.

Namun, setelah terlibat dalam satu kemalangan di Litar Le Mans di hadapan penyokong senegaranya, prestasi Zarco mulai sedikit merosot. Kemerosotan prestasi yang ketara itu turut membuatkan ketua pasukan Monster Yamaha Tech 3, Herve Poncharal, mengeluarkan kenyataan yang Zarco terlampau seronok menjadi tumpuan dalam MotoGP, lebih-lebih lagi selepas bertemu dengan teman wanitanya. Ada juga yang berspekulasi bahawa dia mungkin mula berasa gentar selepas kemalangan tersebut.

Poncharal sedar yang kemalangan di Le Mans itu adalah sesuatu yang lain daripada yang lain dan Zarco telah mula merosot selepas itu, berada di tempat ke-10 di Itali, ke-7 di Catalunya, ke-8 di Belanda, ke-9 di Jerman, dan ke-7 di Czech.

“Saya gembira dengan perlumbaan ini, ianya perlumbaan yang baik, rentak yang bagus, dan kami boleh bersaing dari awal perlumbaan lagi,” kata Zarco. “Tayar belakang lembut adalah pilihan yang baik, dan saya gembira dengannya, ia membantu saya untuk bersaing dari mula lagi. Mungkin saya boleh memintas beberapa orang penunggang lagi pada awalnya, tetapi, ianya sukar. Dalam perlumbaan, saya cuba sebaik mungkin, dan pada akhirnya pasti tayar akan haus dan ia jadi lebih sukar, bukan kerana tayarnya sahaja, kerana kami sedang berusaha bagi mendapatkan atur cara yang terbaik untuk jentera kami,” ujar juara dunia Moto2 dua kali apabila ditemuramah oleh MotoGP.

Zarco meneruskan, “kini, kami sudah mula kembali pada rentak yang bagus, dari hari Sabtu kami agak pantas, tidak mencukupi untuk menaiki podium tetapi saya faham yang ianya lebih baik pada hujung minggu ini, jadi, saya agak gembira dan sewaktu keadaan tidak sempurna dan saya dapat mengumpul mata dan itulah perkara utama pada ketika ini.”

Dia juga mengakui akan kemerosotan prestasinya, “… mungkin sebelum ini pada pusingan lalu saya berlumba seperti seseorang yang hanya ingin ke kedai membeli roti pada waktu pagi. Kini, saya boleh menunggang jentera Yamaha ini dengan baik sekali dan jawapannya adalah ya, saya gembira.”

Penunggang yang gembira adalah penunggang yang pantas. Pusingan seterusnya adalah di Austria pada hujung minggu ini, pada 12 Ogos 2018.

Sumber imej: MotoGP

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]