Zaqhwan Zaidi Dan Honda Asia Dream Racing Team Raikan P7 Di Suzuka 8-Hours Endurance

Zaqhwan Zaidi – Sumber imej: www.honda.com.jp

  • Zaqhwan Zaidi dan teman sepasukannya telah mengemudi pasukan Honda Asia-Dream Racing Team mereka ke tempat ketujuh.
  • Mereka berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan berbilang pasukan pengilang.
  • Keputusan ini bermakna mereka telah memperbaiki kedudukan yang telah mereka perolehi pada tahun 2017.

Penunggang Malaysia, Zaqhwan Zaidi, bersama dengan teman sepasukan Honda Asia-Dream Racing Team, Troy Herfoss dari Australia dan Andi Farid Izdihar dari Indonesia mencapai keputusan tempat ketujuh yang amat membanggakan, di perlumbaan ketahanan berprestij, Suzuka 8-Hours pada hujung minggu lalu.

Troy Herfoss – Sumber imej: fimewc.com

Litar Suzuka kebiasaannya menjadi tuan rumah pusingan akhir bagi siri perlumbaan FIM Endurance World Championsip (EWC). Dan oleh kerana litar ini adalah litar milik Honda, keputusan yang telah dicapai oleh pasukan Honda Asia-Dream Racing Team ini menjadi lebih bermakna.

Namun, ianya tidaklah semudah yang disangka. Litar Suzuka yang berukuran 5.821km ini sahaja cukup mencabar, bercirikan selekoh demi selekoh yang disusuli satu demi satu, digandingkan dengan seksyen yang perlahan dan laju, memaksa para penunggang untuk sentiasa berada di tahap tertinggi mereka tanpa ada tempat untuk leka. Dan, tidak lupa juga, ada 64 orang penunggang yang lain.

Jika cabaran berhadapan dengan begitu banyak penunggang dan jentera di atas litar dan pit tidak cukup mencabar, cuaca juga turut memainkan peranan besar tahun ini, di mana ianya sukar diramal. Ada beberapa penunggang bertaraf dunia yang telah terbabas sewaktu berdepan dengan ribut hujan.

Malah litar tersebut telah dibadai taufan yang meniup angin sekencang 170km/j pada malam sebelum perlumbaan, yang memaksa kru litar bekerja sepanjang malam untuk memperbaiki fasiliti yang terjejas (sekali lagi menunjukkan tahap etika kerja rakyat Jepun, syabas!).

Permulaan Suzuka 8-Hours – Sumber imej: fimewc.com

“Ianya lebih sukar pada tahun ini kerana cuacanya yang tidak menentu,” ujar Zaqhwan. Pengurus pasukan Honda Asia-Dream Racing Team, Zulhelmi Ahmad berkata yang cuaca telah memberi kesan pada suasana pasukan, namun, ia tidak menjejaskan kesungguhan mereka dalam mencapai kedudukan 10 Teratas dalam perlumbaan ini.

“Bukan mudah untuk dapat P7!” tegas Zaqhwan yang jelas teruja dengan keputusan tersebut. Pasukan itu telah bermula dari posisi 12 di atas grid.

Sumber imej: fimewc.com

Bagaimana pun, Zulhelmi Ahmad, yang juga merupakan pengurus Sukan Permotoran Boon Siew Honda, mengakui yang dia ada perasaan bercampur baur mengenai keputusan ini, “Saya tidak boleh kata yang saya amat gembira dengan keputusan hari ini kerana kami gagal capai potensi penuh kami. Pasukan ini mampu mencapai kedudukan yang lebih baik lagi jika tidak kerana kegagalan sewaktu pit stop. Namun, kami akui yang pasukan ini berlumba dengan lebih baik pada tahun ini dari segi masa keseluruhan dan kami mendapat satu tempat lebih tinggi dari tahun lalu,” ujarnya lagi.

Pasukan Honda Asia-Dream Racing Team telah menamatkan perlumbaan yang mencabar ini dengan jumlah masa keseluruhan 8j00m:05.666s, berbanding catatan masa pemenang 8j00m:01.728s, hanya ketinggalan 4 pusingan. Mereka berazam akan memperbaiki keputusan tersebut pada tahun hadapan.

Roda Ferris yang ikonik di Litar Suzuka – Sumber imej: fimewc.com

Sebelum kami akhiri artikel ini, dan sebelum sesiapa mula memperlekehkan keputusan P7 dan perlumbaan ketahanan Suzuka 8-Hour Endurance, benarkan kami terangkan latar belakangnya.

Perlumbaan ketahanan Suzuka 8-hours bermula pada tahun 1978 untuk motosikal prototaip TT-F1 (Tourist Trophy Formula One), tetapi, dengan kepopularan motosikal superbike, FIM menghapuskan kelas TT-F1 bagi memberi tumpuan kepada perlumbaan motosikal pengeluaran.

Diberi nama Suzuka 8-Hours, perlumbaan ini sendiri satu acara yang besar, menarik minat antara 85,000 hingga 100,000 peminat perlumbaan.

Dan dengan itu, pengeluar motosikal telah memberikan perhatian penuh pada perlumbaan ini dan mereka akan membariskan penunggang utama dari siri MotoGP, WorldSBK, All-Japan Superbike, serta siri perlumbaan berprestij yang lain bagi membentuk sepasukan tiga orang penunggang. Nama-nama hebat yang pernah menyertai perlumbaan Suzuka 8-Hours ini adalah Wes Cooley, Mike Baldwin, David Aldana, Fred Merkel, Wayne Gardner, Wayne Rainey, Scott Russel, Aaron Slight, Doug Polen, Noriyuki Haga, Colin Edwards, Mick Doohan, Carlos Checa, Casey Stoner, Jonathan Rea, dan juga Valentino Rossi (pada tahun 2001, di mana dia disertai Colin Edwards dan telah memenangi perlumbaan ini).

Rossi sewaktu Suzuka 8-Hours 2011 – Sumber imej: LAT Images

Jadi apa yang Zaqhwan kata itu benar, mendapat tempat ketujuh bukannya mudah, lebih-lebih lagi dengan tahap persaingan sebegini. Pasukan Honda Asia-Dream Racing telah berjaya berada di belakang F.C.C TSR Honda France, Juara EWC 2018 dan salah sebuah pasukan ternama dalam kancah GP, di samping berada di hadapan pasukan Moriwaki dan Yoshimura Suzuki.

FCC TSR Honda France – Sumber imej: www.honda.co.jp

Masalah utama dengan kebanyakan siri perlumbaan di seluruh dunia, selain MotoGP, adalah kekurangan penyiaran dalam media massa, mengakibatkan ramai orang tidak maklum. Namun, perlu diingatkan bahawa perlumbaan yang tidak disiarkan tidak bermakna yang ianya tidak berprestij.

Walau apa pun jua, marilah kita raikan penunggang negara kita, Zaqhwan Zaidi dan pasukan Honda Asia-Dream Racing ini. Kami harap mereka akan mendapat lebih banyak keputusan yang membanggakan pada masa yang akan datang.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]