Sepuluh Pembangunan Teknologi Yang Memajukan Motosikal (Bahagian 1)

  • Saban hari, motosikal semakin bertambah canggih.
  • Di sini kami senaraikan beberapa buah pembangunan teknologi yang telah memajukan motosikal.
  • Pembangunan teknologi ini telah menjadikan penunggangan motosikal lebih selamat dan menyeronokkan.

Saban tahun, kita diperkenalkan dengan motosikal-motosikal yang cukup canggih sekali. Ia datang dengan pelbagai kemajuan terkini yang menjadikan penunggangan motosikal jauh lebih selamat dan menyeronokkan. Ada antara teknologi tersebut telah menjadi keperluan penting yang perlu ada pada motosikal masa kini, bagi memastikan yang ianya tidak ketinggalan dengan pesaingnya. Di sini kami senaraikan sepuluh pembangunan teknologi yang menjadikan penunggangan motosikal lebih selamat dan menyeronokkan.

10. Kerangka Aloi

Kemunculan tayar yang lebih mencengkam menandakan ketibaan enjin yang lebih berkuasa namun kerangka tiub keluli tahun 70-an dan awal 80-an tidak mampu menyaingi kemajuan ini. Sering kali kita dapat melihat motosikal terpantas pada zaman itu terhuyung-hayang sewaktu di selekoh.

Eddie Lawson di atas Z1000.

Tiubnya perlu dihasilkan dengan lebih besar, menyebabkan beratnya menghapuskan sebarang kelebihan yang datang dengan tambahan kuasa enjin tersebut. Selain itu, keluli bersifat tidak lentur dan menyebabkan tayar haus dan juga masalah cengkaman.

Suzuki adalah pengeluar yang berinovasi semasa zaman kegemilangannya. Mereka memutuskan untuk menggunakan aluminium untuk kerangkanya. Kerangka aluminium yang pertama hadir pada model ikonik, Suzuki GSX-R750 1986, juga dikenali sebagai “Slabside”, atau “Slingshot”. Aluminium menjadi pilihan kerana ianya kuat dan juga ringan. Jurutera mereka boleh menala tahap kekerasan melalui ketebalan yang berbeza bagi mencapai sifat kelenturan yang diingini.

Pada hari ini, hampir ke semua motosikal berprestasi tinggi dilengkapi dengan kerangka aluminium.

Aluminium menggunakan struktur ‘monocoque’ pada model Ducati Panigale V4

9. Reraup

Para pelumba dan pasukan sudah bertahun lamanya mengetahui yang reraup pada motosikal membolehkan aliran aerodinamik yang lebih baik dan dengan itu, kelajuan yang lebih tinggi. Reaup hanya mula dilengkapkan pada motosikal pengeluaran penuh pada tahun 1973, apabila BMW melancarkan model R90S. Penggantinya, model R 100 RS, pada tahun 1976, merupakan motosikal pengeluaran penuh yang pertama dilengkapkan dengan reraup penuh. Kini, ianya boleh dilihat di mana-mana sahaja melindungi penunggang dari tiupan angin.

BMW R 100 RS 1976

8. Cakera Brek

Tiada apa yang dapat menandingi sistem cakera brek hidraulik. Cara kerjanya cukup mudah untuk difahami: Bendalir hidraulik ditekan melalui satu tiub bagi menekan angkup yang memegang pad pada cakera yang dipaut kemas pada roda. (Tekan sini untuk pautan mengenai cara brek berfungsi.)

Brek hadapan KTM 790 Duke 2018

Cakera brek juga mempunyai banyak kelebihan berbanding brek dram. Ianya membersihkan kendiri, di mana segala habuk breknya ditiup angin secara sendiri, ia menyejuk dengan lebih pantas kerana cakera dan pad terdedah dengan aliran tiupan angin, tidak akan terendam dalam air, pergerakan suspensi tidak akan menjejaskan pembrekan, dan lebih mudah untuk diperiksa.

Atas sebab-sebab inilah sistem cakera brek hidraulik masih belum digantikan. Sebaliknya, penambahbaikan telah dibuat pada kelengkapan yang lain seperti bahan cakera/pad, tiub, silinder utama, angkup, dan pemaut angkup.

7. Anti-Lock Brake System (ABS)

Ada satu ketika di mana ABS dipandang remeh oleh penunggang kerana dianggap tidak boleh diharap dan menambah beban tambahan pada motosikal. Namun sebaliknya, ABS-lah salah satu teknologi yang sering kali menyelamatkan nyawa penunggang. ABS telah pun dibangunkan secara ekstensif bertahun lamanya, sehinggalah adanya ABS menyelekoh, atau pun yang mampu berfungsi dengan sistem lain seperti kawalan cengkaman. (Sila tekan pautan ini untuk mengetahui bagaimana ABS berfungsi.)

Cecincin ABS pada brek hadapan Modenas Dominar 400.

6. Enjin Multi-Silinder

Enjin pembakaran dalaman pertama merupakan enjin satu silinder. Bagaimana pun, dalam usaha mendapatkan lebih banyak kuasa, semakin banyak silinder yang telah ditambah bagi melahirkan dua, tiga, empat, enam, malah sehingga lapan, dengan pelbagai atur cara dan penjarakan aci engkol. Bayangkan keadaan dunia motosikal semasa sekiranya kita hanya ada enjin satu silinder sahaja.

Enjin Ducati Panigale V4

5. Fork Teleskopik Redaman Secara Hidraulik

Fork pada mulanya direka bagi memautkan batang stereng ke roda pada suatu ketika dahulu, dan ianya tidak memberikan sebarang redaman. Ianya berubah apabila BMW Motorrad memperkenalkan fork redaman secara hidraulik dalam model R12 pada tahun 1935. Fork motosikal telah melalui pelbagai pembangunan sejak itu dan juga turut melahirkan pilihan alternatif seperti stereng hab tengah, sususan fork girder, namun, tiada yang masih dapat menggantikan fork hidraulik sebagai atur cara suspensi hadapan pilihan.

Fork Ohlins pada motosikal Ducati Panigale V4S

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.