Enjin Moto2 Triumph Diuji Oleh Marquez Di Aragon

Sumber imej: MotoGP.com
  • Triumph bakal menjadi pembekal enjin eksklusif bagi kelas Moto2 pada tahun 2019.
  • Para pasukan Moto2 telah mula menguji enjin baharu tersebut.
  • Enjin tersebut berasaskan pada enjin inline-Triple yang ada pada model Street Triple RS.

Triumph Motorcycles bakal membekal enjin standard bagi pasukan Moto2 bermula tahun hadapan (2019), setelah kontrak semasa Honda tamat pada penghujung musim 2018. Tekan pautan di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Perhatikanlah Gambar-Gambar Motosikal Moto2 Kalex Janaan Triumph 2019 Ini!

Dan oleh kerana itu, para pasukan Moto2 telah mula menguji enjin tersebut pada tahun ini sebagai persiapan untuk musim akan datang. Diingatkan bahawa pasukan-pasukan Moto2 terdiri daripada para pembina kerangka seperti Kalex, Speed Up, NTS, dan KTM (dan juga Suter dan Moriwaki pada suatu ketika) yang membina kerangka dan casis yang merumahkan enjin standard yang berdasarkan enjin Honda CBR600RR sejak tahun 2010.

Sumber imej: Ultimate Motorcycling

Dengan kemunculan pembekal enjin yang baharu ini, para pasukan tersebut akan membina kerangka dan casis bagi disuaikan dengan titik pautan dan perwatakan kuasa enjin baharu tersebut. Ini juga bermakna persaingan yang lebih sengit bagi musim yang akan datang di mana para pasukan akan memperoleh data baharu mengenai pengendalian dan penggunaan tayar.

Penunggang terbaru yang telah menguji enjin inline-Triple 765cc yang berdasarkan motosikal Street Triple terbaru adalah Alex Marquez, adik kepada juara MotoGP berbilang kali, Marc Marquez, di atas jentera EG 0,0 Marc VDS Kalex – Triumph.

Alex telah menguji enjin baharu yang dirumahkan dalam jentera Kalex bahru di litar Motorland Aragon beberapa hari yang lalu, setelah ujian yang telah dijalankan oleh Julian Simon dan Ricky Cardus di atas jentera KTM pada hari yang sebelumnya. Jesko Raffin juga telah mengujinya bagi Kalex, manakala Alex De Angelis pula untuk NTS.

Sewaktu sesi ujian di Valencia pada awal tahun ini, Jesko Raffin telah mencatatkan masa 1.3 saat lebih pantas berbanding dengan rekod masa yang telah ditetapkan oleh juara dunia Moto2 2016, Johann Zarco – menggunakan enjin tiga selari 765cc standard dari motosikal Street Triple RS! Raffin mengatakan bahawa dia tidak menghadapi sebarang masalah dengan penjana kuasa tersebut. Seorang lagi penunggang pula telah memberi komen tentang tork tahap rendah dan sederhana enjin berkenaan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]