Tunggang uji Triumph Tiger 800 XRx 2018

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

Triumph Tiger 800 XRx adalah sebuah motosikal yang lebih kepada sport-tourer berbanding dengan model Tiger 800 XCx.
Kedua-dua rangkaian XC dan XR telah dilancarkan pada bulan lalu.
Harga bagi motosikal rangkaian XR bermula dari RM56,900 (harga asas beserta GST) tetapi anda perlu bertindak segera, kerana tawaran ini adalah sehingga Julai 2018 sahaja!

Kita sebagai manusia cukup liat untuk berubah. Walaupun ada daripada kita yang lebih terbuka kepada perubahan, pada penghujung harinya, kita lebih gembira dengan sesuatu yang kita sudah biasa. Hari demi hari, kita mengikut rutin yang sama dengan gembira, dan apabila sesuatu yang luar dari kebiasaan berlaku, yang mengganggu norma tersebut, kita menentang, melawan, merungut mengenainya.

Penulis juga tidak terkecuali.

Saya suka akan motosikal lumba. Tidak kisahlah terpaksa mendepang tangan, menyandarkan perut di atas tangki bahanapi, punggung tertonggek ke atas. Pengorbanan itu dibalas dengan sesuatu yang setimpal; maklum balas tayar hadapan, sudut menyelekoh yang tajam dan keterujaan memecut laju memintas kenderaan lain di atas jalan raya.

Kemudian, pada satu hari, saya dan beberapa orang warga media permotoran telah menyertai kumpulan Ratpack menunggang ke Taman Negara Khao Sok di Thailand. Tumpuan utama tunggangan tersebut adalah model baru, Triumph Tiger 800 XRx dan Tiger 800 XCx.

Model-model ini mungkin mendapat sanjungan di seluruh dunia, tetapi saya berasa ragu-ragu sama ada saya akan menyukainya. Kerana, sejujurnya, saya tidak biasa dengannya. Namun, saya memberanikan diri dan mencubanya.

Anda mungkin masih ingat akan pelancaran rangkaian model Triumph Tiger 800 XR 2018 yang telah diadakan bersama dengan rangkaian Tiger 800XC, beserta Bobber Black dan Spedmaster di Bukit Tinggi. TEKAN SINI untuk membaca laporan kami mengenainya.

Sebagi penyegar ingatan, rangkaian XR terdiri daripada model asas XR, XRx, XRx LRH (Low Ride Height) dan model utama XRt. Rangkaian XC pula terdiri daripada XCx dan model utama XCa.

Kami telah pun menunggang uji motosikal Triumph Tiger 800 XCx 2018 dan cukup menyukainya, dan kami kemudiannya menunggang uji Triumph Tiger 800 XRx 2018, memandangkan ianya motosikal yang lebih untuk kegunaan jalan raya berbanding model Tiger 800 XCx. Dan oleh kerana itu, model XRx dilengkapi dengan roda acuan tuang dan bukannya berjejari. Roda hadapannya sebesar 19 inci, 21 inci pada XCx. Suspensinya juga lebih pendek dengan 180mm ruang gerak di hadapan dan 170mm ruang gerak di belakang berbanding 220mm bersama 215mm dan oleh kerana itu, ketinggian pelana XRx terletak pada 810-830mm berbanding 840 – 860mm pada XCx.

Selain daripada perkara di atas, kedua-dua motosikal ini hampir serupa kecuali untuk ‘paruh’ yang lebih pendek pada XRx.

Sudah agak lama sejak saya menunggang Tiger 800 XCx dan saya menarik nafas lega sewaktu menunggang XRx. Ia terasa seakan biasa. Posisi duduknya terasa sama walaupun palang pemegangnya terasa lebih ke hadapan kerana roda hadapannya yang lebih kecil. Tambahan pula, kedua-dua kaki penulis boleh menyentuh tanah dengan mudah.

Dengan satu petikan butang pemulanya, menghidupkan motosikal ini dengan deruan yang rendah. Pulas sedikit sahaja pendikitnya dan penulis telah pun mula bergerak.

Motosikal XRx ini bergerak dengan lincah bagaikan peninju hebat, Muhammad Ali. Cukup mudah untuk berasa serasi dengan motosikal ini dan saya dengan pantas boleh mencelah di antara trafik dengan mudah.

Gabungan pendikit, klac, enjin, serta transmisinya berfungsi dengan lancar sekali. Penulis hanya perlu berikan tumpuan kepada keadaan trafik dan biarkan tangan dan kaki melakukan tugasnya secara semulajadi, kerana motosikal Tiger XRx (dan XCx) telah memudahkannya buat penulis. Selain itu, lampu hadapan berkembarnya cukup besar dan terang dan memberikan kesan psikologi dalam menampilkan kehadirannya yang lebih tegas di atas jalan raya.

Kami kini menuju pulang dari Khao Sok. Giliran saya menunggang Tiger 800 XRx (sebelum ini, XCx). Saya teragak-agak pada mulanya. Namun, 30 minit selepas menunggang, sesuatu telah berubah. Saya tersenyum sendiri. Saya mula melambai-lambai dan memberi isyarat ibu jari kepada para penunggang Ratpack.

Seperti mana sewaktu saya menunggang uji XCx, XRx ini juga telah menyebabkan saya tidur tidak lena. Sebahagian dari diri saya, bukan sahaja dalam minda mahu pun hati, ingin selalu menunggangnya. Terngiang-ngiang di telinga deruan enjinnya memanggil-manggil saya.

Jadi, sekali lagi, saya bangun awal pagi, pukul 5 pagi, dan keluar menunggang.

Ada sesuatu yang menyeramkan mengenai lebuh raya Karak sebelum fajar. Kabus nipis meliputi beberapa meter dari atas jalan raya dan pemandangannya bak sebuah filem seram. Namun, dengan satu petikan butang lampu PASS/HIGH BEAM, jalan raya tersebut diterangi cahaya yang menyilau, menyinari jalan. Memudahkan saya menangani selekoh panjang di atas lebuh raya Karak tersebut.

Di sinilah jelas ternyata perbezaan di antara kedua-dua varian Tiger 800 ini. Sebaik sahaja motosikal ini condong memasuki selekoh, ia kekal stabil tanpa sebarang lantunan mahu pun gegaran. Saya boleh memilih untuk membrek keras atau meluru lebih laju memasuki selekoh – motosikal Tiger 800 XRx dengan mudah menangani kedua-dua tugas ini tanpa masalah. Ia tidak dilengkapi dengan klac ‘slipper’, namun terasa jauh lebih lancar!

Bagaimana pun, sestabil mana pun ia sewaktu di pertengahan selekoh, ia tidak teragak-agak menukar laluan sewaktu saya arahkannya. Jika anda berpeluang menguji kedua-dua buah motosikal ini, anda sendiri pasti merasakan yang ianya jauh lebih kecil dari keadaan fizikalnya.

Jalan raya ke Genting Highlands masih lagi bersilih ganti di antara kegelapan dan cerah mentari pagi. Namun begitu, saya tidak perlu terlalu risau memandangkan motosikal ini menjalankan tugasnya dengan baik, membolehkan saya menikmati penunggangan ini sepenuhnya, walau dalam keadaan pencahayaan yang masih samar. Begitu seronok saya sewaktu tunggangan ini, hinggakan saya sering sekali mencecah kedua-dua belah tempat letak kaki ke tar jalan. Jika ada yang mengekori belakang saya pada waktu itu, sudah pasti mereka dapat melihat pertunjukan bunga api percuma (maafkan penulis, Triumph Motorcycles Malaysia).

Hujan turun dengan lebat sekali. Dalam mod SPORT, pendikitnya bagaikan bersatu dengan tangan penulis, setiap maklum balasnya terasa di hujung jari. Jadi, penulis tidak mengubah ke mod RAIN. Saya teruskan menunggang, kebal menghadapi hujan.

Saya tiba di persimpangan jalan, dan berhenti, kerana saya tidak tahu haluan yang perlu kami tujui. Salah seorang penunggang yang telah mengekori saya di atas motosikal Speed Triple telah pun tiba di sisi saya. Dia angkat visornya dan berkata, “Kau gila ke?!! Bawak selaju 160km/j dalam hujan!!! Dekat Thailand!!

Saya tiba di First World Hotel, menuju terus ke stesen petrol Petron dan membelok ke kiri memasuki jalan yang baru ditar. Ianya amat sempit dan bersimpang siur. Saya berhenti di puncaknya dengan motosikal Triumph Tiger 800 XRx ini berlatar belakangkan puncak bukit dan gunung, sewaktu ufuk mula bertukar ke warna jingga.

Dan saya melakukannya selama empat daripada lima hari motosikal ini berada dengan saya.

Persekitaran mula diterangi cahaya matahari. Saya berasa seperti di puncak dunia setiap kali ianya berlaku kerana bukan sahaja saya mendakinya dalam keadaan gelap dan berkabus, tetapi juga di atas jalan raya yang basah. Tiger 800 XCx dan XRx ini tidak sekali pun menghiraukan keadaan jalan raya yang basah tersebut.

Sesudah puas menghirup udara segar pergunungan, tiba masa untuk saya pulang semula.

Menunggang dengan lebih santai sewaktu perjalanan pulang ini kerana trafik yang semakin banyak, saya membelek paparan LCDnya. Cukup mudah untuk digunakan dengan sistem menu, kayu ria, dan suis yang baru. Setiap maklumat yang penting lengkap terpapar, dipersembahkan dalam format yang mudah untuk dibaca.

Tiba dalam keadaan trafik Kuala Lumpur yang sesak, Triumph Tiger 800 XRx ini terus berfungsi dengan lancar. Ia telah berubah dari tunggangan harian ke sport-tourer ke pendaki gunung dan kembali menjadi tunggangan harian dengan begitu mudah sekali tanpa perlu sekali pun menukar mod penunggangannya. Namun, sekiranya perlu, ianya cukup mudah untuk melakukannya.

Bagaikan bidadari yang turun dari kayangan, Tiger 800 ini telah mengatasi segala jangkaan yang saya ada untuk sebuah motosikal. Pegangan saya tergugat, merobek jiwa dan kesetiaan saya. Saya tidak dapat menentang. Saya hanya mampu akur sahaja.

Bermulalah kisah cinta saya dengan motosikal adventure-tourer, dan motosikal Triumph Tiger 800 inilah puncanya.

Dan kini, saya berdepan dengan dilema baru. Bukanlah satu rahsia yang saya cintakan Tiger 800 XCx, tetapi, saya juga telah jatuh hati pada Triumph Tiger 800 XRx. Lebih-lebih lagi pada “White Tiger” yang telah kami tunggang uji ini. XCx cukup berkebolehan di atas jalan raya mahu pun di atas jalan tanah merah, manakala XRx pula hebat di atas jalan raya dan boleh ditunggang di atas jalan tanah merah yang tidak terlalu sukar.

Kenapa tidak pilih dua-dua sahaja?

Spesifikasi Teknikal

ENGINE
Engine type Liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4 valves per cylinder, inline-Triple
Compression ratio 11.3 : 1
Bore X Stroke 74.0 mm X 61.9 mm
Displacement 800 cc
Fuel system Multipoint sequential electronic fuel injection
Maximum power 94 bhp (70 kW) @ 9500 RPM
Maximum torque 79 Nm @ 8050 RPM
TRANSMISSION  
Clutch Wet, multi-plate
Gearbox 6-speed
CHASSIS
Front suspension Showa 43mm upside down forks, 180 mm travel
Rear suspension Showa monoshock with hydraulic preload adjustment, 170 mm travel
Front brakes Dual 305 mm Brembo floating discs, dual Brembo two-piston sliding calipers
Rear brake Single 255 mm disc, Nissin single-piston sliding caliper
ABS ABS standard, swtichable on/off
Front tyre 100/90-R19
Rear tyre 150/70-R17
FRAME & DIMENSIONS
Frame Tubular steel trellis frame
Swingarm Two-sided cast aluminium allow
Trail 86.6 mm
Rake 23.8o
Wheelbase 1350 mm
Seat height 810 – 830 mm
Dry weight 200 kg
Fuel capacity 19 litres

Galeri Gambar

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]