Tunggangan Pertama Sym Cruisym 250i 2018 Dan Sym Jet 14

  • Sym Malaysia baru-baru ini telah melancarkan skuter Sym Cruisym 250i 2018 dan Sym Jet 14 2018.
  • Kedua-dua buah skuter 125cc dan 250cc ini adalah skuter yang mematuhi piawaian Euro4 dengan rupa bentuk yang moden dan sporty.
  • Skuter Cruisym 250i telah ditetapkan harganya pada RM18,888 manakala bagi Jet 14 pula pada harga RM6,688 (harga asas tidak termasuk GST).


Sym Malaysia telah melancarkan tawaran skuter terkini mereka dalam rangkaian semasa mereka dalam bentuk Sym Cruisym 250i 2018 dan Sym Jet 14 2018. Berfokuskan kepada reka bentuk moden yang dpenuhi dengan kemasan yang agresif dan sporty, skuter terbaru mereka ini bukan hanya tampak hebat tetapi juga baik untuk alam sekitar kerana ianya patuh peraturan emisi Euro4.

Sehari selepas majlis pelancaran rasminya, Sym Malaysia telah mengadakan satu sesi tunggang uji ringkas bagi merasai sendiri kebolehan skuter terbaru mereka. Satu sesi tunggang uji yang ringkas telah diadakan di kompaun hotel bagi membolehkan warga media, beserta dengan para wakil pengedar, untuk lebih memahami kebolehan skuter-skuter tersebut dari segi pemecutan dan pengendalian dalam ruangan yang kecil.

Sym Cruisym 250i 2018 – Dari RM18,888 (harga asas tidak termasuk GST)

Kami tiba lebih awal untuk melihat dengan lebih rapat skuter terbaru dari Sym dan kami dengan serta merta tertarik dengan skuter Sym Cruisym 250i 2018. Ternyata benar apabila mereka (SYM) mendakwa yang reka bentuk skuter ini adalah agresif dan sporty. Perkara pertama yang terlintas di minda kami adalah skuter Cruisym 250i ini cukup sesuai sekali bagi mereka yang inginkan sebuah skuter maxi yang tidak berkaitan dengan perkataan-perkataan seperti ‘tua’, ‘lapuk’, atau ‘bosan’. Skuter ini tampak benar-benar moden sekali.

Pada mulanya, sewaktu melabuhkan punggung di atas pelana, ia terasa agak canggung kerana palang pemegangnya berkedudukan agak seperti palang pemegang motosikal lumba. Ianya bukan posisi siku yang biasa bagi sebuah skuter maxi, namun, bagi seseorang yang berketinggian kira-kira 170cm (5 kaki 7 inci), posisi duduk skuter Cruisym 250i ini cukup cocok sekali.

Ada sedikit ruang untuk meletakkan kaki anda mengikut keselesaan anda. Menggerakkannya ke belakang sedikit akan memberikan anda sedikit kelincahan sewaktu menangani selekoh dan mengalihkannyan ke posisi yang lebih hadapan menawarkan lebih keselesaan sewaktu menunggang di atas lebuh raya. Ianya sudah pasti satu kelebihan yang besar kerana kebolehan skuter ini untuk ditunggang oleh penunggang berlainan saiz dan juga bagi senario penunggangan yang berbeza.

Pemecutannya terasa lancar dan modulasi kuasa untuk pemanduan arah secara perlahan juga amat baik. Cukup baik untuk menangani keadaan menunggang seperti menyusuri lalulintas yang teramat sesak. Agak menakjubkan memandangkan yang skuter Cruisym 250i ini seberat 196kg namun oleh kerana saiznya yang agak kecil (760mm lebar, jarak antara roda 1550mm, ketinggian 1440mm, kelegaan tanah 125mm), menunggangnya pada kelajuan yang lebih rendah memberikan lebih keyakinan buat penunggang.

Enjin sejukan cecair, SOHC, satu silinder, 249.4cc, yang patuh Euro4-nya itu mampu menghasilkan sehingga 21.2hp dan 23Nm tork. Tidak banyak yang dapat kami perkatakan tentang prestasinya pada kelajuan yang lebih tinggi namun bagi mereka yang selalu menunggang di sekitar bandar pasti menghargai apa yang skuter Sym Cruisym 250i ini tawarkan. Sym Malaysia ada menyatakan yang ia mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 150km/j yang mana akan kami uji pada masa yang akan datang.

Daya henti skuter ini terasa teguh dan terkawal. Atas jasa pakej cakera hadapan 260mm dengan ABS dan cakera belakang 240mm, melakukan pembrekan kecemasannya terasa pantas, jitu, dan yang lebih penting, selamat. Tuil brek hadapannya terasa agak keras, namun, ianya berkemungkinan akan lebih elok setelah skuter ini berjalan dengan lebih jauh.

Kami juga terasa amat kagum dengan ruangan simpanan di bawah pelananya. Sym Malaysia tidak main-main apabila mereka mengatakan yang anda boleh memuatkan dua buah helmet ‘full face’ dengan mudah dalamnya. Ia mungkin sekali cukup besar untuk diisi dengan helmet penulis dengan laptop dan semua pakaian bagi perjalanan dua hari ke Pulau Pinang. Yang ini, kami benar-benar suka.

Terdapat juga lohong udara bagi membantu menyejukkan penunggang sewaktu penunggangan kerana bahagian hadapannya itu agak besar. Kotak sarung tangan di bawah sebelah kanan palang pemegang itu cukup besar untuk menyimpan telefon pintar, dompet, dan barangan-barangan kecil yang anda bawa dalam poket. Terdapat juga palam 12V dan port USB untuk kemudahan anda, sekiranya anda membawa kabel pengecas telefon pintar anda.

Secara keseluruhannya, skuter Sym Cruisym 250i 2018 terbaru ini tampak memberangsangkan. Ia mungkin bukan skuter paling berkuasa dalam kategorinya, namun, dengan reka bentuknya yang moden dan ranggi, beserta tanda harganya pada RM18,888 (harga asas tidak termasuk GST), ianya satu tawaran yang menggiurkan bagi sebuah skuter maxi 250cc.

Inginkan sesuatu yang lebih sporty? Dapatkan varian Special Edition yang datang dalam skema warna Matter Black dan kemasan karbon fiber.

Sym Jet 14 2018 – RM6,688 (harga asas tidak termasuk GST)

Sym Malaysia mungkin sekali membayangkan skuter Jet 14 125cc ini sebagai ‘adik’ bagi skuter Cruisym 250i. Dengan DNA dan penggayaan yang sama seperti Cruisym 250i dan meletakkannya dalam sebuah skuter 125cc merupakan satu alternatif yang hebat dan pada masa yang sama, tampak mengagumkan. Ia sudah pasti lebih menonjol berbanding skuter-skuter yang lain dalam kategorinya dan dengan strategi pemasaran yang tepat, kami pasti yang golongan muda akan memilih skuter Jet 14 yang baru ini sebagai kenderaan dua roda pertama mereka.

Kami juga tidak mempunyai sebarang rungutan mengenai rupa bentuk skuter Jet 14 yang baru ini. Dengan reka bentuk yang moden dan ranggi yang sama telah diterapkan dalam skuter ini, kami andaikan ianya berpotensi menarik minat golongan yang lebih muda terhadap skuter ini. Menjadikannya lebih menarik lagi adalah tanda harganya yang hanya pada RM6,688 (harga asas tidak termasuk GST).

Enjin sejukan udara, satu silinder, 125cc yang patuh Euro4-nya itu mampu menghasilkan sehingga 10hp dan 9.2Nm yang mana bukanlah jumlah yang setara dengan motosikal lumba, namun, ianya memadai untuk mencecah kelajuan lebuh raya. Jika anda seorang ibubapa yang mahukan anak anda selamat di atas jalan raya, kami pasti anda tidak inginkan anak anda memacu jentera yang boleh mencapai kelajuan melebihi had kelajuan lebuh raya.

Pemecutannya terasa agak perlahan, namun, ini bermakna yang penunggang yang masih baru ada masa dan ruang yang secukupnya untuk mengenali skuter ini sebelum terjadinya sesuatu yang tidak diingini. Lagi pun, ianya sebuah skuter 125cc yang seberat 128kg, beserta penunggang dan juga pembonceng. Tunggangannya terasa sederhana dan tahap keselesaannya memadai, tetapi, sekali lagi diingatkan, skuter di bawah paras RM7,000 adalah satu tawaran yang menarik sekali.

Pakej pembrekannya (cakera brek hadapan 260mm dan drum belakang), pada pandangan kami, memerlukan sedikit masa untuk diserasikan. Tuil breknya terasa agak keras, terutamanya bagi brek hadapan dan oleh kerana ianya tanpa ABS, kebarangkalian penguncian tayar menjadi lebih tinggi. Ia tidak memberikan masalah yang besar memandangkan ianya tidaklah boleh ditunggang dengan begitu laju pun namun mengerjakan breknya itu masih memerlukan sedikit usaha dan ketelitian.

Tangki bahanapi sebesar 7.5 liter yang telah dilengkapkan pada skuter ini adalah tangki yang agak besar bagi sebuah skuter 125cc. Ini memastikan yang penunggangnya tidak perlu kerap berhenti di stesen minyak untuk isian semula. Ciri-ciri yang lain termasuklah roda tuang 14 inci, ruang simpanan bawah pelana yang mampu memuatkan sebuah helmet ‘full face’, papan pemapar tiga muka, lampu belakang LED, dan ruang simpanan tambahan di bawah sebelah kiri palang pemegang.

Kami akan cuba dapatkan skuter-skuter ini untuk tunggang uji yang lebih menyeluruh dan ulasan pada masa yang akan datang. Buat sementara waktu ini, apa yang dapat kami simpulkan adalah skuter Sym Jet 14 ini adalah skuter yang cantik untuk dipandang (lebih-lebih lagi dalam skema warna Biru) dengan prestasi yang memuaskan pada harga yang mampu milik.

Galeri Gambar Sym Cruisym 250i 2018

Galeri Gambar Sym Jet 14 2018

 

Leave a Reply